
BRUSSELS: Harga gas asli Eropah melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh empat tahun susulan perang Iran dan usaha berterusan Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan penggunaan tenaga dari Russia, menurut data dalam talian Trading Economics.
Pada Isnin, harga borong gas mencecah lebih €97 (RM441) setiap megawatt-jam buat sementara waktu, paras yang tidak pernah dicatatkan sejak Disember 2022.
Kenaikan itu berlaku ketika kemudahan penyimpanan gas di EU hanya 74.62 peratus penuh setakat 25 Oktober, jauh di bawah purata bermusim.
Penghantaran gas asli cecair (LNG) melalui Selat Hormuz, yang menyumbang kira-kira satu perlima daripada perdagangan LNG global sebelum perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran tercetus awal tahun ini, kekal sekitar 80 peratus lebih rendah berbanding paras sebelum konflik.
Beberapa negara EU sudah mula menggunakan bekalan gas simpanan ketika suhu semakin menurun.
Harga gas Eropah akan mencecah €98.20 (RM447) setiap megawatt-jam menjelang akhir suku keempat 2026, ramal Trading Economics .
Sementara itu, di United Kingdom (UK), kontrak gas bagi penghantaran bulan depan meningkat empat peratus ke paras tertinggi sejak Disember 2022, menurut The Guardian.
Isi rumah di Britain berdepan kemungkinan kenaikan bil tenaga sebanyak 27 peratus pada Januari.
Ia sekali gus meningkatkan purata bil tahunan bagi penggunaan gas dan elektrik kepada hampir £2,200 (RM11,978), menurut unjuran pembekal tenaga EDF.
Unjuran terdahulu oleh Cornwall Insight menjangkakan kenaikan 16 peratus kepada £2,000 (RM10,888). – AGENSI
The post Harga gas asli melonjak paras tertinggi di Eropah akibat perang Iran appeared first on Utusan Malaysia.

