‘Harga kek RM150 bukan sebab saya artis’

LocalFood
6 Oct 2026 • 1:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Harga kek RM150 bukan sebab saya artis’

PETALING JAYA – Dituduh menggunakan status ‘artis’ untuk menjual kek dengan harga cekik darah, pelakon Shima Anuar menegaskan setiap harga jualan dikira berdasarkan kos keseluruhan penyediaan termasuk penggunaan bahan berkualiti tinggi dan bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata.

Ujar Shima atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 35, harga kek buatannya tidak boleh dibandingkan secara terus dengan produk bakeri lain kerana setiap pembuat kek menggunakan ramuan serta kaedah penyediaan berbeza.

“Bukan, harga saya bukan disebabkan saya artis atau apa-apa. Saya kira semua kos terlebih dahulu sebelum menetapkan harga.

“Kek saya bukan menggunakan krim biasa atau sekadar krim kosong. Apabila bahan digunakan banyak dan harganya mahal, takkanlah saya nak jual kek pada harga murah? Betul tak?

“Kebanyakan pelanggan saya ialah pelanggan berulang. Cuba tanya mereka kenapa masih membuat pesanan daripada saya,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon filem Highland Tower itu, setiap pembuat kek mempunyai pendekatan tersendiri dalam memilih bahan, sekali gus mempengaruhi kos penghasilan serta harga jualan produk masing-masing.

“Setiap pembuat kek tidak menggunakan bahan sama. Jadi, apa yang saya jelaskan ini hanya berkaitan kek saya sendiri.

“Tentang pembuat kek lain, saya tidak tahu bagaimana mereka mengira kos masing-masing,” ujarnya.

Bagaimanapun, penjelasan Shima itu tidak meredakan sepenuhnya perdebatan dalam kalangan netizen, malah isu harga kek berkenaan terus mengundang pelbagai reaksi dalam media sosial.

Segelintir pengguna media sosial berpendapat harga RM150 untuk sebiji kek agak mahal selain mempersoalkan sama ada harga tersebut berbaloi dengan produk ditawarkan.

Terdahulu, harga kek RM150 berukuran enam inci dijual Shima mencetuskan perdebatan apabila netizen mempersoalkan nilai jualan tersebut, selain mendakwa kek berkenaan tidak boleh ditempah mengikut reka bentuk atau permintaan khas pelanggan.

Netizen turut mendakwa harga sedemikian mungkin mengundang persoalan sekiranya dikenakan oleh pembuat kek biasa, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai perbezaan harga produk selebriti dengan bakeri lain. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Harga kek RM150 bukan sebab saya artis’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved