TONGOD: Seorang pemimpin kerajaan pada Jumaat berkata harga getah sekerap sekarang masih kekal pada harga lantai RM2.50 sekilo sejak 2016 – tidak lebih dari nilai sekilo garam.
Wakil Rakyat (Bebas) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata kejatuhan nilai komoditi itu merupakan penyusutan paling rendah dalam sejarah negara sejak tempoh 20 tahun lalu.
Beliau mengingatkan, kerajaan tidak boleh melihat dengan sebelah mata kerana harga lantai sekarang iaitu RM2.50 sekilo yang ditetapkan Kementerian Perusahan Perladangan dan Komuditi (KPPK) tidak pernah disemak sejak tujuh tahun lalu.
“Ia dilihat sebagai diskriminasi kepada pekebun kecil getah kerana harga bahan kimia melibatkan komoditi itu seperti racun rumpai, baja dan cuka getah telah melambung naik hampir 100 peratus.
“Lebih parah, pendapatan kecil penoreh getah dibayangi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi pada masa ini, “ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Masiung mengesa Kerajaan Negeri dan Persekutuan menaikan harga lantai baharu getah sekerap sehingga RM3.50, selain melanjutkan Bantuan Musim Tangkujuh (BMT) dalam penyediaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil berat terhadap penyusutan harga komuditi ini kerana getah merupakan penyumbang eksport ke enam terbesar negara.
Masiung memberi amaran, jika kerajaan tidak melihat isu ini dalam penyediaan Belanjawan 2023 sudah pasti warga pekebun getah akan rasa terabai, sekaligus mempengeruhi politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 kelak.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah itu berkata, ekoran kejatuhan harga getah sekerap, kini ramai pekebun kecil getah beralih kepada komoditi lain.
“Jika isu ini berterusan, pengeluaran eksport getah negara akan terus merudum sebagai pengeluar utama getah asli dunia.
“Bagi mengelakkan lebih ramai pekebun getah beralih ke bidang lain, kerajaan perlu memperkenalkan formula baharu untuk menaikan harga lantai komoditi itu,” tambahnya.
Masiung mahu agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan
Pekebun Kecil Perusahan Getah (Risda) dan Lembaga Industri Getah Sabah (Ligs) mengambil tanggungjawab
terhadap kejatuhan harga komuditi berkenaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

