
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Konflik Asia Barat di antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian.
Gencatan senjata yang diumumkan Iran dan Amerika Syarikat yang pada mulanya memberikan harapan dilihat sudah tidak lagi memberikan kesan positif apabila Israel didakwa melanggar gencatan senjata apabila menyerang Lubnan kurang 24 jam selepas pengumumannya.
Terbaharu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengarahkan tentera lautnya untuk menyekat Selat Hormuz semalam (12 April) selepas gagal mendapat persetujuan menamatkan konflik dalam rundingan bersama Iran pada Sabtu (11 April) lalu.
Sekatan itu diumumkan oleh Trump menerusi platform rasminya, Truth Social.
“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat yang terbaik di dunia, akan memulakan proses menyekat mana-mana dan semua kapal yang cuba memasuki, atau meninggalkan, Selat Hormuz.
“Sekatan tersebut akan bermula dalam masa terdekat. Negara-negara lain akan terlibat dengan sekatan ini. Iran tidak akan dibenarkan mendapat keuntungan daripada tindakan pemerasan haram ini,” katanya.
Bukan itu sahaja, Trump turut mengarahkan kapal laut AS menjejaki dan memintas semua kapal layar yang membayar kepada Iran untuk melalui selat tersebut.
Harga Minyak Mentah Naik 8% Selepas Pengumuman Sekatan Selat Hormuz
Terbaharu, harga minyak dunia naik 8% selepas Trump mengumumkan sekatan di laluan minyak paling berpengaruh itu.
Berdasarkan data dagangan, harga minyak mentah Brent telah melepasi AS$102 setong.
Sehingga semalam (12 April), niaga hadapan minyak mentah Brent bagi bulan Jun meningkat sebanyak 7.76% menjadi AS$102.59 setong berbanding penutupan sebelumnya di bawah AS$100.00 setong.
Manakala, niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) bagi bulan Mei meningkat 8.2% menjadi AS$104.50 setong.
Sebelum ini, harga minyak dunia merosot dan pasaran saham naik selepas Trump bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu.
Iran Beri Amaran Baharu Selepas Trump Umum Sekatan Selat Hormuz
Susulan pengumuman Trump mengenai sekatan terhadap Selat Hormuz, Iran juga tampil memberi amaran baharu.
Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana kapal tentera yang menghampiri selat tersebut.
Malah, tindakan itu juga dianggap sebagai melanggar gencatan senjata seperti yang telah dipersetujui baru-baru ini.
Pasukan itu turut menjelaskan dron Iran sedang memantau selat berkenaan serta setiap pergerakan berada di bawah kawalan penuh angkatan tentera mereka.
Pada masa yang sama, Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf yang mengetuai delegasi bersama Menteri Luar, Abbas Araqchi, menjelaskan ancaman terbaharu yang diberikan Trump langsung tidak memberi kesan kepada mereka.
Jelas Arqchi, Iran berunding dengan baik namun mereka mendakwa berhadapan dengan tuntutan yang melampau, perubahan syarat serta sekatan ketika hampir mencapai memorandum persefahaman dalam rundingan yang diadakan di Islamabad Sabtu lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Gencatan Senjata 2 Minggu AS & Iran: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Baca Artikel Berkaitan: Konflik Asia Barat: Kapal Malaysia Dibenarkan Lalui Selat Hormuz Tanpa Tol – Duta Iran
Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu


