
PETALING JAYA: Harga minyak mentah dunia yang kini menghampiri AS$95 setong (RM383.14) dijangka meningkatkan tekanan terhadap kos pengangkutan dan import negara, sekali gus berpotensi memberi kesan kepada inflasi serta kos sara hidup sekiranya berterusan.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, kenaikan harga minyak sememangnya memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, khususnya melalui peningkatan kos pengangkutan dan barangan import.
Bagaimanapun, kesan langsung terhadap pengguna ketika ini masih dapat diredakan menerusi mekanisme subsidi bahan api kerajaan, termasuk subsidi petrol RON95 melalui BUDI95.
“Memang sangat terkesan dengan kenaikan kos, khususnya kos pengangkutan dan juga import. Namun, dengan adanya subsidi BUDI95 daripada kerajaan, ia sebenarnya menjadikan kos harian kita stabil.
“Namun, sebenarnya kerajaan menanggung beban yang sangat tinggi untuk subsidi setiap bulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kerajaan membelanjakan kira-kira RM11.2 bilion bagi subsidi bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, manakala jumlah subsidi pada Mei sahaja mencecah kira-kira RM5 bilion.
Jelasnya, angka berkenaan menunjukkan peningkatan harga minyak dunia bukan sahaja memberi tekanan kepada pengguna dan sektor perniagaan, malah turut meningkatkan tanggungan kewangan kerajaan.
“Sekiranya harga minyak mentah dunia terus kekal melebihi AS$90 setong (RM362.97), pertumbuhan ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2026 masih boleh berada pada tahap baik, dengan syarat peningkatan kos bahan api terus diserap melalui subsidi.
“Pertumbuhan masih lagi baik dengan syarat kenaikan kos minyak disubsidi oleh kerajaan. Cuma isunya, berapa lama kerajaan boleh bertahan untuk memberikan subsidi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenaikan harga minyak yang berterusan berpotensi menghakis sebahagian kesan positif daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh pada separuh pertama tahun ini.
“Harga minyak merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi prestasi ekonomi global kerana kenaikan kos bahan api akan memberi kesan rantaian kepada kos pengeluaran, pengangkutan dan harga barangan.
“Ekonomi dunia memang dipengaruhi besar oleh harga minyak ini. Bukan sahaja Malaysia akan mengalami masalah ekonomi, semua negara khususnya bukan pengeluar minyak akan mengalami tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barangan,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, sekiranya harga minyak kekal tinggi dalam tempoh panjang, tekanan terhadap kos operasi syarikat juga boleh meningkat, terutama bagi sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap bahan api dan pengangkutan.
“Keadaan itu seterusnya boleh mengehadkan keupayaan sesetengah perniagaan untuk mengekalkan harga, selain berpotensi mendorong kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang agak berbeza berbanding negara pengimport bersih minyak kerana negara merupakan pengeksport bersih produk minyak dan gas.
“Peningkatan harga minyak dunia secara asasnya memberi manfaat kepada Malaysia dari segi peningkatan nilai eksport dan pendapatan sektor minyak dan gas.
“Dari aspek pengeksport, memang Malaysia mendapat keuntungan apabila harga minyak meningkat.
“Harus diingat bahawa jumlah eksport kita adalah lebih besar berbanding import kita. Jadi, kesan bersihnya juga akan positif dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN
The post Harga minyak hampiri AS$95 setong beri tekanan kepada ekonomi appeared first on Utusan Malaysia.




