Harga minyak mentah dunia susut bawah AS$98 setong

Business & Finance
10 Nov 2026 • 7:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga minyak mentah dunia susut bawah AS$98 setong

PETALING JAYA: Harga minyak mentah dunia melanjutkan fasa penurunan selepas merekodkan kejatuhan mingguan teruk berikutan penggiat pasaran menilai prospek pelan perdamaian antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berbanding serangan baharu di Asia Barat. 

Kontrak niaga hadapan minyak mentah Brent merosot di bawah AS$98 (RM398) setong selepas susut lebih 16 peratus minggu lalu, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan berhampiran AS$90 (RM365.52) setong.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata penurunan harga tersebut mencerminkan harapan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian diplomatik berhubung konflik berkenaan.

“Penurunan harga minyak mentah ini mencerminkan harapan terhadap penyelesaian diplomatik berhubung konflik AS-Iran, walaupun ketegangan baharu dan ketidaktentuan rundingan terus merumitkan prospek bekalan tenaga.

“Minyak mentah telah merosot daripada paras tertinggi enam bulan yang dicatatkan pada akhir Oktober lalu berikutan keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS meningkatkan jangkaan bahawa konflik tersebut tidak akan melonjak secara signifikan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Harga pasaran minyak mentah turut menerima tekanan susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang membayangkan penangguhan tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran sekiranya perundingan perdamaian terus menunjukkan kemajuan positif.

Sementara itu, firma penyelidikan OCBC dalam laporan Tinjauan Bulanan Komoditi berkata, pihaknya telah membuat semakan menaik terhadap unjuran harga minyak mentah Brent.

OCBC kini mengunjurkan harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$100 (RM406.13) setong menjelang akhir tahun berbanding AS$85 (RM345.21) setong sebelum ini, manakala unjuran bagi akhir 2027 dinaikkan kepada AS$85 setong daripada AS$75 (RM304.60) setong.

“Semakan ini bukan disebabkan oleh keyakinan terhadap penamat konflik AS-Iran, sebaliknya didorong oleh paras harga permulaan tinggi hari ini serta kemungkinan bahawa kekangan fizikal mengambil masa untuk pulih.

“Pasaran juga telah mengguna pakai sebahagian besar rizab simpanan. Setakat akhir September, inventori minyak global berada 509 juta tong di bawah paras akhir Februari, manakala stok simpanan di darat menghampiri paras terendah sejak 2016,” katanya.

Ahli Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah mengeluarkan kira-kira 330 juta tong daripada rizab kecemasan setakat pertengahan Oktober lalu.

Selain OCBC, bank pelaburan Goldman Sachs turut menaikkan unjuran harga minyak mentah Brent bagi Disember kepada AS$105 (RM426.44) setong daripada AS$90 (RM365.52) sebelum ini, manakala unjuran WTI AS ditingkatkan kepada AS$94 (RM381.76) setong berbanding AS$81 (RM328.97). 

Goldman Sachs memberi amaran yang di bawah senario kenaikan, harga Brent boleh mencecah AS$140 (RM568.58) setong dan mencatatkan purata sekitar AS$130 (RM527.97) pada 2027 sekiranya pengeluaran minyak di rantau Teluk kekal 3.5 juta tong sehari di bawah purata 2025.

Di samping itu, risiko infrastruktur dan penghantaran kekal tinggi susulan gangguan ke atas Talian Paip Timur-Barat Arab Saudi pada September serta peningkatan kes serangan ke atas kapal dagang pada Oktober.

Kos pengangkutan turut menjadi kekangan utama berikutan laluan kapal yang lebih panjang dan langkah keselamatan tambahan yang meningkatkan kos penghantaran minyak. – UTUSAN

The post Harga minyak mentah dunia susut bawah AS$98 setong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved