Harga minyak sawit mentah ambil masa untuk meningkat akibat daya saing, permintaan dijangka terjejas – TA Securities
diyana
11/08/2023 - 17:11
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Harga minyak sawit mentah (MSM) masih memerlukan masa untuk berada dalam trend menaik, kata TA Securities yang berpendapat bahawa harga tinggi minyak sawit tidak mampan disebabkan daya saing dan permintaan dijangka terjejas.
Oleh itu, TA Securities menjangkakan harga MSM pada separuh kedua tahun ini berada dalam lingkungan RM3900 hingga RM4200 setiap tan.
Menurut firma penyelidikan itu, harga MSM setakat ini berpurata RM3,918 setiap tan, setelah menyaksikan lonjakan ke paras tertinggi empat bulannya pada 25 Julai dan jatuh 8.1% baru-baru ini.
“Harga MSM meningkat sebanyak 6.3% dan mencecah paras tertinggi empat bulannya pada RM4,061 setiap tan pada 25 Julai sebelum turun kepada RM3,732 setiap tan baru-baru ini.
“Lonjakan harga itu sebahagian besarnya disebabkan oleh serangan Rusia ke atas pelabuhan pedalaman utama Ukraine, yang mendorong kenaikan harga bijirin berikutan kegusaran Ukraine tidak dapat mendapatkan hasil tanaman kepada pembeli.
“Selepas itu, harga MSM jatuh 8.1% kerana unjuran pengeluaran pantas dari wilayah pembekal utama telah mengimbangi kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak makan dari wilayah Laut Hitam,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, keadaan tanaman yang bertambah baik dan prospek cuaca baik menekan niaga hadapan kacang soya lebih rendah dan secara tidak langsung mengheret turun harga MSM.
Menurut firma tersebut, isu buruh yang kian berkurang akan mendorong peningkatan pengeluaran minyak sawit pada separuh kedua tahun ini.
Selain itu, walaupun El Nino memudaratkan pengeluaran, firma itu berkata ia tidak mungkin memberi kesan kepada pengeluaran minyak sawit tahun ini kerana secara lazimnya, kesan perubahan iklim mengambil masa enam hingga sembilan bulan.
Firma tersebut mengekalkan unjuran ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dan menganggarkan harga purata MSM pada RM4,000 setiap tan tahun ini. - DagangNews.com


![[VIDEO] Sabah memperoleh RM6.22b daripada cukai minyak sawit mentah sejak 2018, antara penyumbang hasil terbesar](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
![[VIDEO] Harga minyak sawit mungkin naik lebih RM4,300 pada 2024 berikutan bekalan, masalah pengeluaran - MPOC](https://cdn.newswav.com/img/web-revamp/broken-placeholder.png)