Harga minyak sawit mentah dijangka pulih dalam masa terdekat, penurunan bersifat sementara – HLIB

LocalBusiness & Finance
7 Jan 2026 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak sawit mentah dijangka pulih dalam masa terdekat, penurunan bersifat sementara – HLIB image is not available haziq07/01/2026 - 10:30 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Jan – Penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) baru-baru ini dijangka bersifat sementara, dengan pemulihan harga diramal berlaku dalam masa terdekat, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

HLIB berkata pemulihan tersebut akan disokong oleh corak pengeluaran bermusim yang lebih rendah, kemunculan fenomena La Niña yang menjejaskan penuaian minyak sawit di Brazil serta kebimbangan baharu terhadap pertumbuhan pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia.

 

Selain itu, faktor lain yang dijangka mendorong pemulihan harga CPO termasuk pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia serta pemuktamadan mandat biofuel Amerika Syarikat bagi tempoh 2026-2027.

 

Menurut HLIB, data daripada Pertubuhan Meteorologi Dunia menunjukkan terdapat 55 peratus kebarangkalian untuk melepasi ambang La Niña dalam tempoh antara Disember 2025 hingga Februari 2026.

 

“Secara sejarah, La Niña membawa taburan hujan melebihi paras normal di Asia Tenggara dan keadaan lebih kering di beberapa bahagian benua Amerika, khususnya Brazil dan Argentina.

 

“Sekiranya berlaku, corak cuaca sedemikian boleh menjejaskan bekalan global minyak boleh dimakan. Di Asia Tenggara, hujan berlebihan berpotensi mengganggu penuaian dan logistik minyak sawit di Malaysia dan Indonesia manakala penanaman kacang soya mungkin tertangguh serta pertumbuhan awal tanaman menjadi lemah di Brazil dan Argentina susulan pengurangan hujan,” kata firma itu.

 

HLIB menambah kebimbangan terhadap pertumbuhan pengeluaran minyak sawit di Malaysia dan Indonesia dijangka timbul semula berikutan beberapa faktor termasuk profil pokok yang semakin berusia, kadar penanaman semula yang perlahan serta kekangan peluasan tanah baharu susulan moratorium penanaman baharu Indonesia sejak 2018 dan komitmen kelestarian Malaysia.

 

Katanya, langkah kerajaan Indonesia untuk mengambil alih lebih 674,000 hektar ladang kelapa sawit juga dijangka mengekang pengeluaran minyak sawit negara itu serta melemahkan minat pelaburan dalam sektor perladangan sawit.

 

HLIB mengekalkan andaian harga CPO sebanyak RM4,200 satu tan bagi tahun ini.

 

Firma itu turut mengulangi saranan “Overweight” ke atas sektor perladangan disokong oleh prospek harga CPO yang konstruktif dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana.

 

“Kami memilih syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan lebih besar kepada operasi huluan di Malaysia, memandangkan leveraj yang tinggi terhadap harga CPO serta pendedahan minimum kepada risiko rampasan tanah.

 

“Pilihan utama kami ialah SD Guthrie Bhd (Beli; harga sasaran: RM5.76) dan Hap Seng Plantations Holdings Bhd (Beli; harga sasaran: RM2.31),” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard