Harga minyak sawit mentah diunjur stabil antara RM4,000 hingga RM4,300 setiap tan pada 2H25 - PublicInvest

25/07/2025 - 14:48
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 25 Julai - Sektor perladangan diunjur stabil pada separuh kedua 2025 (2H25) dengan minyak sawit mentah (MSM) didagangkan antara RM4,000 hingga RM4,300 bagi setiap tan, kata Public Investment Bank (PublicInvest).
Katanya, unjuran itu disokong paras investori yang lebih stabil selepas melepasi tahap 2 juta tan selain momentum eksport yang bertambah baik hasil daya saing harga berbanding minyak kacang soya.
"Momentum eksport, terutamanya ke India, dijangka meningkat, didorong perbezaan harga yang ketara antara minyak sawit dan minyak kacang soya serta paras inventori yang rendah di negara tersebut,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran harga MSM bagi setahun penuh kekal pada RM4,200 setiap tan.
“Saham pilihan utama kami ialah Sarawak Plantation dan Ta Ann, yang kedua-duanya menawarkan hasil dividen menarik antara 5% hingga 6%,” katanya.
Sementara itu, kos pengeluaran yang lebih rendah dijangka pada separuh kedua tahun ini, walaupun sebelum ini terdapat tekanan akibat kenaikan gaji minimum dan kos baja.
“Walaupun terdapat kenaikan gaji minimum dan harga baja pada separuh pertama 2025, kami menjangkakan kos pengeluaran yang lebih rendah pada 2H 2025, dibantu oleh peningkatan hasil tandan buah segar dan kredit isirung sawit,” katanya.
Katanya, pelaksanaan caruman wajib 2% Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing bermula Oktober ini dijangka mengurangkan kos buruh sektor perladangan kurang daripada 1%.
Dari segi dasar, firma penyelidikan tersebut berkata program biodiesel B40 Indonesia masih berjalan seperti dirancang, yang mungkin menyokong permintaan jangka panjang terhadap minyak sawit sebagai bahan mentah bahan api bio.
Ia juga memberi amaran mengenai risiko alam sekitar, dengan mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah titik panas kebakaran di Sumatera dan Kalimantan, yang boleh mencetuskan kebimbangan jerebu rentas sempadan sekiranya cuaca kering berterusan.
Selain itu, permintaan yang lembap dan ketidaktentuan harga terus memberi tekanan kepada segmen oleokimia Malaysia, terutamanya bagi pemain yang bergantung kepada minyak isirung sawit dan pasaran eksport.
“Ketidaktentuan harga dalam minyak isirung sawit turut menyukarkan aktiviti lindung nilai kos, manakala pengukuhan ringgit memberi kesan negatif terhadap hasil pendapatan. Pemain yang terjejas termasuk SD Guthrie, KLK dan IOI Corp,” katanya. - DagangNews.com
standard



