Harga minyak sawit mentah Malaysia diramal RM4,000 hingga RM4,200 tahun depan - penganalisis
zulfadli
10/11/2023 - 18:12
KUALA LUMPUR 10 Nov - Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka diniagakan antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan pada tahun depan, menyusut berbanding RM4,900 satu tan pada 2022 yang dipengaruhi oleh perkembangan cuaca, risiko geopolitik, dasar kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global lebih rendah, kata pakar industri.
Penganalisis Kanan Palm Oil Analytics Fastmarkets, Sathia Varqa berkata, risiko bekalan berikutan cuaca, penentuan harga minyak bunga matahari dan ketegangan geopolitik yang sedang berlaku adalah tiga faktor perubahan utama bagi penentuan harga MSM untuk tempoh November hingga Disember 2023 serta tahun hadapan.
"Kesan El Nino berlarutan sehingga tahun depan. Sekiranya semakin meningkat, ini dijangka mengurangkan hasil dan merendahkan pengeluaran kira-kira satu juta tan pada 2024 dengan sebahagian besar penyusutan berlaku antara Januari dan Jun," katanya pada sesi unjuran pasaran MSM yang diadakan bersempena dengan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) (PIPOC 2023) di sini hari ini.
Tema PIPOC 2023 “Navigating Uncertainties, Building Resilience” (Menangani Ketidakpastian, Membina Ketahanan) mencerminkan usaha bersepadu industri dalam menangani cabaran global dan berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
Berkongsi kebimbangan mengenai harga MSM pada tahun depan, Ketua Firma Oil World yang berpangkalan di Hamburg, Thomas Mielke menjelaskan bahawa ketidakstabilan itu telah meningkat.
"(Terdapat) perubahan besar harga antara AS$530 pada Mei 2020 dan AS$1,900 pada Mac 2022. Kebimbangan terhadap bekalan akan berlaku sekali lagi. Saya tidak terkejut sekiranya lebih banyak ketidaktentuan berlaku untuk tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.
Ketua Penyelidikan dan Perniagaan Tani Malaysia CIMB Group, Ivy Ng pula mengunjurkan MSM diniagakan pada RM4,100 tahun depan, didorong oleh bekalan sawit global yang tidak berubah, dengan Malaysia menghasilkan sebanyak 18.2 juta tan, manakala Indonesia 48 juta tan.
"Hasil yang rendah daripada ladang sawit lama, (keadaan) cuaca, pengurangan input baja pada beberapa tahun sebelumnya dan produktiviti lebih rendah daripada pekerja baharu akan menjejaskan bekalan pada tahun depan," katanya pada sesi sama.
Beliau berkata, dasar cukai berkaitan eksport, levi, duti import, biodiesel, peraturan termasuk Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah dan moratorium minyak sawit akan turut menjadi faktor utama yang menjejaskan industri pada tahun depan.
Sementara itu, Sathia berkata, permintaan terhadap biodiesel dijangka meningkat berikutan pelaksanaan B35 dan harga minyak mentah yang tinggi di Indonesia.
"Jumlah penggunaan biodiesel dijangka pada sekitar 12 juta kiloliter menerusi kadar campuran B35," katanya sambil memaklumkan bahawa penggunaan biodiesel menokok 17% iaitu rekod tertinggi dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2022.
Mielke pula berkata, jumlah pengeluaran biodiesel akan meningkat kira-kira 500,000 tan sekiranya campuran B35 kekal digunakan, lapor Bernama.
"Sekiranya mereka mengekalkan B35, jumlah pengeluaran biodiesel akan bertambah...tetapi untuk 12 bulan akan datang, pengeluaran mungkin tidak berubah...mungkin berkurangan," katanya. - DagangNews.com


