johardy06/05/2026 - 10:18 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei - Harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada RM4,280 satu tan ketika syarikat perladangan dijangka mencatatkan prestasi segmen huluan yang lebih lemah bagi suku pertama 2026 (1Q26), susulan kebimbangan terhadap pengeluaran yang lebih rendah.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research dalam notanya berkata, faktor bermusim dengan pengeluaran hasil yang lebih rendah serta harga produk sawit yang `lebih lemah' berkemungkinan menyebabkan prestasi huluan merekodkan penurunan suku ke suku (q-o-q).
“Namun, walaupun prestasi huluan dijangka lebih lemah secara q-o-q dan tahun ke tahun (y-o-y), keputusan keseluruhan dijangka sejajar dengan unjuran kami, disokong oleh sentimen harga MSM yang semakin baik,” katanya.
Prestasi segmen hiliran pula dijangka bertambah baik secara q-o-q, didorong oleh jurang cukai eksport dan levi yang semakin mengecil antara Malaysia dan Indonesia, selain harga isirung sawit yang lebih rendah, walaupun persekitaran operasi kekal mencabar susulan lebihan kapasiti berterusan.
Pada masa sama, syarikat perladangan dijangka mencatatkan penurunan pendapatan huluan secara y-o-y dalam 1Q26 berikutan harga produk sawit yang lebih rendah serta peningkatan kos pengeluaran, terutamanya disebabkan kenaikan harga baja, di samping trend pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang bercampur-campur.
Walaupun pengeluaran FFB Malaysia meningkat 11.1%, tiga daripada tujuh syarikat di bawah liputan HLIB Research merekodkan penurunan y-o-y, mencerminkan ketidakseimbangan trend pengeluaran.
Cuaca buruk di Indonesia
“Kami percaya keadaan ini berpunca daripada cuaca buruk di beberapa kawasan di Indonesia, yang menjejaskan aktiviti penuaian dan mengehadkan proses pengangkutan hasil bagi syarikat yang mempunyai pendedahan di negara tersebut,” tambahnya.
HLIB Research – yang mengekalkan andaian harga MSM 2026 pada RM4,350 satu tan – menjangka harga akan kekal tinggi sekitar RM4,500 hingga RM4,600 satu tan pada suku kedua 2026 (2Q26), sebelum mula menyederhana dari suku ketiga 2026 (3Q26).
“Berdasarkan anggaran kami, setiap peningkatan RM100 satu tan dalam unjuran purata harga MSM mampu meningkatkan unjuran pendapatan syarikat perladangan di bawah liputan kami antara 3% hingga 8%,” katanya.
Bagi pendedahan pelaburan, firma penyelidikan itu mengesyorkan syarikat perladangan yang lebih tertumpu kepada segmen huluan dan telah mengunci kos baja bagi tahun ini – sekali gus memberikan keterlihatan margin yang lebih baik – seperti Johor Plantations Group Bhd dengan harga sasaran RM1.98 dan SD Guthrie Bhd pada RM7.25.
Sementara itu, BIMB Research dalam laporannya menyatakan pelaksanaan mandat biodiesel B15 Malaysia yang berkuat kuasa 1 Jun ini menandakan peralihan daripada perancangan dasar kepada fasa pelaksanaan.
Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan secara berperingkat ini disokong oleh infrastruktur sedia ada serta kapasiti pengeluaran daripada 19 loji biodiesel berlesen. - DagangNews.com




