Harga minyak sukar kembali ke paras AS$65 setong - Akmal Nasrullah

LocalBusiness & Finance
20 Apr 2026 • 12:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga minyak sukar kembali ke paras AS$65 setong - Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah

PUTRAJAYA - Harapan untuk melihat harga minyak mentah Brent kembali ke paras AS$65 setong mungkin hanya menjadi satu impian dan tinggal sebagai memori.

Berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian dan Hala Tuju PADU, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, keadaan pada masa kini tidak semudah sebelum ini dan dunia kini terpaksa berdepan dengan keadaan norma baharu akibat krisis yang semakin berlarutan.

"Bacaan awal menunjukkan ada norma yang tidak lagi kekal seperti dahulu. Sebab itu kita perlu bersedia bahawa dunia akan berdepan norma baharu.

“Harga minyak untuk kembali ke AS$65 setong mungkin hanya tinggal memori. Kalau berlaku, Alhamdulillah, tetapi kita tahu keadaan tidak semudah sebelum ini," katanya pada Isnin.

Menurut beliau, kesan ekonomi daripada situasi semasa telah pun bermula dan proses pemulihan dijangka akan mengambil masa yang lebih panjang.

"Jangkaan kita paling cepat untuk penuh pemulihan ini 18 bulan, mengambil kira ada aset-aset dari segi penapisan yang di Asia Barat telah mengalami kerosakan," katanya.

Jelas Akmal Nasrullah, sekatan yang berlaku di Selat Hormuz turut memberi impak yang besar kerana ia mampu mengurangkan bekalan minyak dan gas sektor tenaga sebanyak 20 peratus di peringkat global.

Tambahnya, gangguan bekalan minyak tersebut juga telah merebak dan menjurus kepada isu-isu lain. Antaranya, kos insurans bagi tujuan pengangkutan atau freight dikesan telah meningkat sebanyak dua kali ganda.

Selain itu, kekurangan bekalan dari luar negara turut menjejaskan input bahan lain, seperti bekalan resin yang digunakan untuk pembuatan plastik.

"Perkara ini kalau kita tengok juga, akhirnya di segenap rantaian bahan itu kita bimbang akan memberi kesan kepada rakyat kebanyakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa krisis tenaga global yang berlarutan menuntut semua pihak meningkatkan kecekapan, integriti dan profesionalisme dalam pelaksanaan tugas.

“Saya telah mengarahkan seluruh warga Kementerian Ekonomi untuk terus meningkatkan kecekapan, integriti dan profesionalisme selain memberi fokus kepada kerja berprestasi tinggi.

“Kita baru memasuki bulan keempat tahun ini, namun perubahan yang berlaku amat pantas dan memerlukan kita bertindak lebih cekap serta berkesan,” tambahnya.

Jelasnya, keupayaan negara menyesuaikan diri dengan perubahan ini akan menjadi faktor penting dalam memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam tempoh mendatang.