Harga minyak tidak dijangka kembali ke paras sebelum perang dalam masa terdekat - RHB Research

LocalBusiness & Finance
14 Apr 2026 • 12:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak tidak dijangka kembali ke paras sebelum perang dalam masa terdekat - RHB Research Image from: Harga minyak tidak dijangka kembali ke paras sebelum perang dalam masa terdekat - RHB Research johardy14/04/2026 - 12:13 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 April - Harga minyak tidak dijangka kembali ke paras pra-konflik dalam tempoh terdekat berikutan kelewatan pemulihan operasi, kekangan logistik serta premium risiko yang berterusan, yang dijangka mengekalkan harga pada paras tinggi untuk tempoh lebih panjang, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata pasaran minyak global kekal disokong oleh gangguan bahagian bekalan susulan ketegangan geopolitik terbaharu, walaupun rantaian bekalan jangka panjang semakin menunjukkan tanda-tanda normalisasi secara beransur-ansur.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan pandangan harga akan kembali stabil, dengan minyak Brent dijangka berada sekitar paras pertengahan AS$80 setong sebelum menurun secara berperingkat ke arah andaian jangka sederhana.

 

RHB Research telah menaikkan unjuran purata harga minyak Brent bagi 2026 kepada AS$82.50 setong daripada AS$62 sebelum ini, serta memperkenalkan unjuran 2027 pada AS$72 setong, mencerminkan jangkaan kekuatan harga dalam tempoh terdekat.

 

Semakan itu didorong oleh keadaan pasaran yang kekal ketat susulan ketegangan geopolitik, khususnya kebimbangan terhadap infrastruktur tenaga utama dan laluan perkapalan penting seperti Selat Hormuz.

 

Jika perang bertambah buruk

Dalam senario lebih buruk, firma itu memberi amaran bahawa konflik yang berpanjangan atau semakin meruncing boleh mendorong harga minyak meningkat setinggi AS$140–150 setong, bergantung kepada tahap dan tempoh gangguan bekalan.

 

Susulan semakan menaik itu, RHB Research menaikkan saranan sektor minyak dan gas kepada ‘Overweight’ daripada Neutral, berikutan prospek pendapatan yang lebih baik dalam persekitaran harga minyak yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata prestasi jangka pendek dijangka mengatasi pasaran, khususnya dalam segmen midstream dan sebahagian pemain upstream.

 

Saham pilihan utama kekal Dialog Group Berhad dan MISC Berhad.

 

Dialog dijangka mendapat manfaat daripada pendedahan separa kepada aktiviti upstream, di samping terus disokong oleh perniagaan terminal tangki dan midstream yang stabil serta memberikan pendapatan berulang.

 

Sewa kapal tangki lebih tinggi

Sementara itu, MISC dijangka mendapat manfaat daripada kadar sewaan kapal tangki yang lebih tinggi susulan ketidaktentuan geopolitik yang mengehadkan bekalan kapal dan meningkatkan permintaan pengangkutan.

 

RHB Research turut menekankan, Petronas Chemicals Group Berhad berpotensi menjadi penerima manfaat dalam senario gangguan berpanjangan, apabila harga minyak yang lebih tinggi boleh mengekalkan pasaran petrokimia yang ketat serta menyokong spread produk yang lebih kukuh.

 

Bagaimanapun, ia menegaskan potensi kenaikan ini sangat bergantung kepada tempoh gangguan bekalan serta keadaan permintaan global, khususnya dari China.

 

Risiko utama kepada unjuran termasuk kelemahan harga minyak lebih daripada jangkaan serta kelembapan permintaan global. - DagangNews.com

Terkini featured standard