
Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik 35 sen bermula 17 hingga 23 September.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan berkata harga RON97 kini naik daripada RM4.50 seliter kepada RM4.85 seliter.
Manakala, RON95 naik daripada RM4.02 seliter kepada RM4.37 seliter.
Bagi diesel pula, harganya naik dari RM4.92 seliter kepada RM5.27 seliter.
MOF berkata, kenaikan harga tersebut berlaku berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
"Iran menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas lima kapal tangki Iran, manakala serangan turut merebak ke Yaman dan infrastruktur tenaga Arab Saudi.
"Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot ke paras satu angka susulan peningkatan serangan tersebut.
"Keadaan bertambah buruk apabila serangan dron menyebabkan operasi saluran paip East-West Arab Saudi, antara laluan utama yang memintas Selat Hormuz, dihentikan sementara.
"Rundingan antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai keselamatan laluan perkapalan turut ditangguhkan," ujarnya.
Harga Petrol & Diesel Tanpa Subsidi Naik
Perkembangan tersebut mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM).
Baca juga:
Harga Minyak Naik Akibat Krisis, Anwar Tegur Tindakan Politikkan Isu Minyak
BUDI95 Kembali 300 Liter Sebulan Mulai 1 September
BUDI Diesel: Pemilik Pikap, Jip Yang Layak Boleh Mohon Tambahan 100 Liter – MOF
"Pada masa sama, margin penapisan kekal tinggi susulan gangguan kapasiti penapisan di Rusia.
"Kekangan bekalan minyak mentah serta gangguan kapasiti penapisan terus mengehadkan output produk petroleum bertapis, sekali gus memberi tekanan kepada harga petroleum dunia.
"Peningkatan ketegangan di Asia Barat serta konflik Rusia-Ukraine berisiko menyebabkan ketidaktentuan harga petroleum berlarutan dalam tempoh mendatang," kata MOF.
Menurut MOF, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global tersebut.
Ia termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.

Dalam kenyataan itu, MOF juga memaklumkan penerima penerima BUD195 terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.37 seliter.
"Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.38 seliter, bersamaan 54% daripada harga tanpa subsidi.
"Penerima BUDI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi," katanya.





