

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga petrol di Malaysia kini lebih rendah berbanding Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Beliau sekali gus menyifatkan janji yang pernah dibuatnya sebelum menjadi Perdana Menteri berhubung perkara itu (harga minyak diturunkan) sudah ditunaikan.
"Yang Berhormat Hulu Terengganu (Datuk Rosol Wahid), harga minyak di Malaysia lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi.
"Itu fakta pertama yang harus diingat," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menggesa harga minyak diturunkan dengan harga petrol di Arab Saudi ketika itu sekitar 50 sen seliter.
Berikut harga petrol di beberapa negara:

Katanya, harga RON95 di Malaysia kini kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga petrol di Arab Saudi sudah meningkat kepada lebih RM2.40 seliter.
"UAE yang juga negara pengeluar utama minyak dan gas turut menaikkan harga bahan api sejak dua bulan lalu. Itulah realiti ekonomi yang sudah berubah.
"Kalau dikatakan janji saya dahulu ialah harga minyak mesti lebih rendah daripada Arab Saudi, maka janji itu sudah ditunaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rosol yang membangkitkan kenyataan Anwar ketika menjadi pembangkang yang mengkritik pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung harga bahan api.
Sumber Harian Metro




