Harga purata jualan lemah, kos input tinggi beri tekanan kepada sektor bahan binaan
azan
14/06/2023 - 12:36
KUALA LUMPUR 14 Jun - Sektor bahan binaan mencatatkan kemerosotan ketara dari segi pendapatan penghantaran pada suku pertama tahun ini dengan kesemua syarikat di bawah liputan Kenanga Reseach merekodkan keputusan mengecewakan.
Firma itu berkata, secara umumnya pendapatan kebanyakan syarikat menguncup disebabkan purata harga jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan jumlah jualan yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, Engtex Group Berhadmencatatkan peningkatan permintaan untuk produk keluli terpilih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, syarikat-syarikat berdepan dengan hakisan margin keuntungan disebabkan oleh bahan mentah dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan termasuk kos tenaga kerja dan elektrik.
Katanya, walaupun China membuka semula dan memperkenalkan langkah untuk menstabilkan pasaran, namun pemulihan permintaan tidak memberi kesan ketara terhadap pemrintaan aluminium.
"Kekangan bekalan disebabkan oleh kebimbangan alam sekitar yang semakin meningkat yang membawa kepada penutupan peleburan berkuasa bahan api fosil, terutamanya arang batu, dan sekatan barat terhadap aluminium Rusia seharusnya mengekalkan harga aluminium yang kukuh,” katanya.
Firma itu berkata, setakat ini, purata harga aluminium LME sebanyak AS$2,371 setiap mega tan adalah 1% lebih tinggi daripada separuh kedua 2022 sebanyak AS$2,345 setiap mega tan.
Katanya, purata harga tahun sehingga kini bagi ferrosilicon dan silicomanganese sebanyak AS$1,595 setiap mega tan dan AS$1,057 setiap mega tan ialah -5%/+1% berbanding tahap separuh kedua 2022 sebanyak AS$1,682 setiap mega tan dan AS$1,063 masing-masing.
Permintaan bagi kedua-dua keluli panjang dan rata kekal tidak memberangsangkan disebabkan oleh pengeluaran berlebihan dan pasaran hartanah yang lembap di China manakala pelancaran projek pembinaan dan infrastruktur tidak begitu kukuh seperti yang dijangkakan.
“Kami percaya, peningkatan dalam sektor hartanah hanya boleh dilihat pada akhir 2023 mengenai langkah sokongan kerajaan," katanya. - DagangNews.com


