Harga RON95, diesel tanpa subsidi kekal RM3.72, RM4.67 seliter

LocalBusiness & Finance
10 Jun 2026 • 5:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Harga RON95, diesel tanpa subsidi kekal RM3.72, RM4.67 seliter
Di bawah Budi Madani 95 (BUDI95), kerajaan terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak. Foto hiasan

SHAH ALAM - Harga runcit petrol RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing dikekalkan pada RM3.72 seliter dan RM4.67 seliter, manakala RON97 kekal pada RM4.35 seliter bagi tempoh 11 Jun hingga 17 Jun 2026.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, penetapan harga berkenaan dibuat selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu terdahulu.

Menurut kementerian itu, harga petroleum bersubsidi turut dikekalkan dengan RON95 di bawah BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) RM2.15 seliter.

"Di bawah Budi Madani 95 (BUDI95), kerajaan terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter untuk lebih 14 juta penerima yang layak.

"Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter bahan api menelan kos RM744, namun penerima BUDI95 hanya membayar RM398 sebulan bagi penggunaan sama, sekali gus menikmati penjimatan sekitar RM346 sebulan," menurut kenyataan itu.

MoF memaklumkan, harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula adalah lebih dua kali ganda daripada harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.

Menurut kementerian itu, subsidi bulanan bagi RON95 dan diesel pada Januari 2026 adalah sekitar RM700 juta sebelum meningkat kepada hampir RM5 bilion sebulan pada Mac dan memuncak sebanyak RM7.5 bilion pada April susulan krisis di Asia Barat apabila harga minyak mentah Brent mencecah sehingga AS$120 setong.

Tambah kenyataan tersebut, tanggungan subsidi kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan walaupun harga minyak mentah Brent global kini menyederhana pada paras sekitar AS$90 setong.

"Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan," tambah MoF.

Menurut kenyataan itu, walaupun pasaran petroleum global menunjukkan trend lebih stabil sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pasaran petroleum antarabangsa masih dipengaruhi ketidaktentuan bekalan fizikal, tahap inventori global dan permintaan bermusim di beberapa rantau utama dunia.

MoF memaklumkan, bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi dengan perancangan bekalan yang telah disusun bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk tempoh akan datang.

Pada masa sama, kerajaan akan terus memperkukuh langkah keterjaminan bekalan dalam jangka panjang dan pelaksanaan subsidi bersasar ketika krisis bekalan global masih berlarutan.

'Kami akan terus mengambil pendekatan seimbang untuk memastikan rakyat terus dilindungi, sambil mengekalkan pengurusan kewangan negara yang bertanggungjawab serta menjamin keterjaminan bekalan bahan api negara," menurut kenyataan itu lagi.