Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi, Diesel Di Semenanjung Naik

LocalBusiness & Finance
11 Mar 2026 • 9:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi, Diesel Di Semenanjung Naik

PUTRAJAYA -- Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing dinaikkan sebanyak 60 sen seliter.

Manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia, ia dinaikkan 80 sen seliter.

MOF menerusi kenyataan berkata, penetapan harga ini berkuat kuasa bagi tempoh antara 12 hingga 18 Mac 2026.

"Harga runcit petrol RON97 dinaikkan kepada RM3.85 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.25 seliter). Manakala harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dinaikkan sebanyak pada RM3.27 seliter (harga 11 Mac 2026: RM2.67 seliter).

"Bagi harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan kepada RM3.92 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.12 seliter)," maklum kenyataan itu.

Harga RON95 Bersubsidi, Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan Kekal

Bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum, kerajaan mengekal harga runcit bagi RON95 di bawah BUDI95 dan diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan masing-masing pada harga RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter.

Ia termasuk MOF menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak dibawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026.

MOF berkata pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026.

"Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan.

"Walaupun harga bahan api akan diselaraskan bahi mencerminkan pergerakan harga minyak di pasaran global, kerajaan akan terus menanggung sebahagian subsidi bagi meredakan kesan kenaikan harga pasaran kepada rakyat.

"Kenaikan harga bahan api ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Republik Islam Iran.

"Pada 9 Mac, harga minyak Brent telah menceceh US$119 setong sebelum kembali turun kepada sekitar US$90 setong, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

"Sehubungan itu, harga pam RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter manakala harga pam diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 80 sen seliter," maklum kenyataan itu.

Dalam pada itu, MOF berkata, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi memandangkan harga bahan api di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran.

Kerajaan MADANI kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.