
Kenapa Harga Rumah di Sabah Rasa Macam Makin Mahal? Jom Faham Ceritanya!
Harga Rumah dan Bangunan di Sabah Diramal Naik 15 Peratus. Siapa je yang tak teringin nak ada rumah sendiri, kan? Lagi-lagi bila dah mula kerja dan fikir pasal masa depan. Tapi, kadang-kadang bila tengok harga rumah, terutamanya di Sabah, uinahhh..rasa macam mencabar betul.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah, memberitahu bahawa harga hartanah di Sabah berkemungkinan akan naik pada kadar 10 hingga 15 peratus. Beliau turut berkongsi beberapa sebab utama kenapa kos membina rumah ni boleh meningkat.

Punca 1: Harga Barang Asas Buat Rumah Naik
Macam nak buat kek lapis, kalau harga tepung, gula, telur naik, harga kek pun kenalah naik sikit kan? Sama juga macam buat rumah. Datuk Masiung memberitahu, semasa laporan dibuat, harga barang-barang penting untuk pembinaan telah naik dengan kadar berikut:
- Simen: Naik 15%
- Besi Baja: Naik 20% (Ini paling tinggi!)
- Batu Bata: Naik 12%
- Kayu: Naik 10%
Bila harga barang asas ini meningkat, kos untuk syarikat pemaju siapkan satu rumah pun jadi lebih tinggi. Jadi, tak hairanlah kalau harga jual rumah pun mungkin terpaksa dinaikkan sedikit.
Punca 2: Masalah Supply Chain
Pernah dengar pasal supply chain? Senang cerita, ia macam proses hantar barang dari satu tempat ke tempat lain kat seluruh dunia. Kalau proses ni sangkut atau lambat, barang jadi susah dapat atau lambat sampai, dan kos pun boleh naik. Ini pun perkara salah satu yang menghambat proses hartanah di Sabah.
Punca 3: Kos Penghantaran Barang di Sabah yang Mencabar
Menurut Masiung lagi, nak hantar barang ke Sabah ni kadang-kadang ada cabaran dia tersendiri. Selalunya barang kena singgah tukar kapal kat Pelabuhan Klang dulu. Perjalanan ekstra ini tentunya makan kos juga.
Punca 4: Projek Besar Berjalan Serentak dan Kos Upah
Kalau ada banyak projek pembinaan besar jalan serentak, permintaan untuk simen, besi, dan pekerja mahir jadi tinggi. Bila ramai nak barang yang sama, harga pun boleh naik. Selain itu, kos untuk bayar gaji pekerja binaan pun antara faktor yang menyumbang kepada kos keseluruhan membina rumah.
Kerjasama Semua Pihak Amat Diperlukan Bagi Menangani Kenaikan Melampau
Datuk Masiung berkata kerjasama semua orang – kerajaan, syarikat pemaju, kedai jual barang binaan, dan pembeli amat diperlukan bagi menangangi kenaikan daripada terus mencanak. Antara idea yang dibincangkan adalah:
- Bantuan Kerajaan (Subsidi): Mungkin kerajaan boleh tolong tanggung sedikit kos untuk sesetengah barang binaan. Ini boleh bantu kurangkan tekanan harga buat sementara.
- Harga Kawalan (Harga Siling): Idea ini – kerajaan kena tetapkan harga maksimum rumah. Walaupun nampak bagus dari mata kasar, tapi Datuk Masiung khuatir jika harga terlalu rendah, berkemungkinan ada pemaju yang terpaksa ‘berjimat’ di tempat lain pula – contohnya guna bahan kurang berkualiti. Ha, itu lebih bahaya!
- Isu Cukai: Beliau juga menasihatkan supaya jangan ada cukai baru untuk bisnes bina rumah buat masa ni, bagi mengelakkan harga rumah daripada terus meningkat secara mendadak.

Apa Kesannya Pada Rakyat?
Senang cerita, bila kos buat rumah naik, harga jual pun mungkin naik. Ini menjadikan impian nak beli rumah sendiri tu rasa makin sukar, terutamanya untuk orang muda yang baru nak stabilkan kewangan atau baru nak bina keluarga. Cabaran nak kumpul duit deposit dan bayar ansuran bulanan jadi lebih besar.
Kesimpulannya, kenaikan ini didorang oleh faktor penyempitan rantaian global, peningkatan permintaan projek mega dan kenaikan kos tenaga buruh. Harapnya, semua pihak dapat cari jalan penyelesaian terbaik supaya lebih ramai orang, termasuk orang muda Sabah, mampu memiliki rumah idaman mereka sendiri.
Ini pula kisah misteri rumah Agnes Keith di Sandakan yang jadi tumpuan ‘dark tourism’



