
PUTRAJAYA: Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos turun sebanyak 10 sen iaitu daripada RM4.57 seliter kepada RM4.47 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, RON95 turun sebanyak 15 sen daripada RM3.77 kepada RM3.62 seliter.
Sementara itu, RON97 pula turun sebanyak 20 sen daripada RM4.34 kepada RM4.15 seliter.
“Harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran telah menyebabkan harga minyak dunia diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar minggu lalu.
“Harga minyak mentah Brent merosot ke bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga APM iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.
“Namun begitu, premium risiko geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan APM apabila prospek rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran kembali merosot, susulan tuntutan baharu yang dikemukakan kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Kementerian Kewangan berkata, harga Brent juga meningkat hampir 5 peratus pada Isnin apabila kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz kembali memuncak.
“Ketidaktentuan mengenai pembukaan semula Selat Hormuz terus menimbulkan risiko gangguan bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan terhadap harga petroleum.
“Dengan itu, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” katanya.
Jelas Kementerian Kewangan, kerajaan terus bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
“Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara
berhemat selain merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan
yang tidak perlu,” katanya. – UTUSAN
The post Harga runcit diesel turun 10 sen, RON95 turun 15 sen appeared first on Utusan Malaysia.






