
GEORGE TOWN: Harga bagi 10 jenis sayur-sayuran di Pulau Pinang mula menunjukkan trend penurunan antara tiga hingga 42 peratus, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang S.Jegan.
Beliau berkata semua sayur berkenaan terdiri daripada tomato, kacang panjang, terung panjang, terung bulat, bendi, kubis bunga, limau kasturi, kacang buncis, brokoli dan lada benggala hija.
“Harga sayur-sayuran sering menunjukkan peningkatan dan penurunan namun dari semakan kami semalam, ia menunjukkan harga sayur-sayuran tertentu telah turun,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan Ops Suri 5.0 dan Ops Menu 3.0 di pasar dan medan selera Bayan Baru di sini hari ini.
Menurut Jegan, bagaimanapun terdapat sayur-sayuran yang mencatat kenaikan harga antara dua hingga 53 peratus seperti sawi, kailan, timun serta lada benggala merah.
Beliau berkata setakat semalam, pihaknya telah memeriksa 5,265 premis di seluruh negeri dengan mengambil tindakan terhadap tiga peniaga yang ingkar di bawah Ops Menu 3.0.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 36 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) telah dikeluarkan terhadap pemborong dan peruncit mengenai kenaikan harga sayur-sayuran terpilih,“ katanya.
Jegan berkata mana-mana peniaga dikesan melakukan pelanggaran sama ada kesalahan penandaan harga, menjual melebihi harga maksimum barangan harga terkawal atau mencatut di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 untuk individu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama

