Harga sayur-sayuran di seluruh negara dilaporkan meningkat lebih 80 peratus berikutan kekurangan bekalan, susulan banjir yang menyebabkan kerosakan besar pada ladang dan kebun di beberapa negeri.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata bencana banjir yang melanda Johor, Melaka, Perak, Kelantan dan Terengganu telah memusnahkan ratusan hektar ladang dan kebun. Keadaan ini menyebabkan bekalan sayur-sayuran berkurangan secara ketara, dengan harga meningkat antara 50 hingga lebih 80 peratus.
Beliau turut memaklumkan lebih 100 hektar ladang seluruh negara ditenggelami air. Situasi bertambah buruk apabila Thailand, sumber bekalan alternatif ke Malaysia, turut terjejas akibat banjir.
Ketika ini, pengusaha ladang dan kebun masih menunggu air banjir surut untuk memulakan semula penanaman, proses yang dijangka memakan masa sehingga dua bulan. Namun, terdapat kebimbangan terhadap kemungkinan gelombang kedua banjir, terutama di kawasan tengah dan selatan Johor, yang dijangka berlaku pertengahan bulan ini hingga awal tahun depan.
Peniaga sayur di Tampoi, Wan Baharuddin Ahmad, memaklumkan harga beberapa jenis sayur meningkat sejak dua minggu lalu akibat bekalan terhad. Sawi, bayam dan kangkung mencatat kenaikan harga ke RM8 sekilogram berbanding RM3.50 sekilogram sebelum ini.
Selain itu, harga tomato dan bendi masing-masing meningkat kepada RM8 dan RM9.50 sekilogram, manakala harga lada merah melonjak kepada RM22 sekilogram berbanding RM14 hingga RM15 sebelum ini.
Sumber: Harian Metro
The post Harga sayuran melonjak lebih 80 peratus akibat banjir appeared first on The Reporter.



