Harga sebuah pesawat F-16 cecah RM1 bilion, adakah Amerika Syarikat akan jual kepada Malaysia?

17/09/2025 - 11:28
F-16 merupakan pesawat tempur yang telah terlibat dalam banyak pertempuran. Oleh Zaki Salleh
KUALA LUMPUR 17 Sept - Anggaran harga terkini bagi pesawat tempur F-16 kini kira-kira AS$285 juta atau lebih RM1 bilion sebuah bagi pakej lengkap meliputi sistem persenjataan, logistik dan alat ganti.
Harga tersebut berdasarkan pakej yang ditawarkan Amerika Syarikat (AS) melalui program penjualan ketenteraan asing (Foreign Military Sale) kepada kerajaan Peru.
Penjualan merangkumi pelbagai kelengkapan berkaitan pesawat F-16 dengan nilai keseluruhan mencecah AS$3.42 bilion (RM14.3 bilion).
Di bawah pakej tersebut, Peru dijangka memperoleh 12 buah pesawat F-16 Block 70 iaitu 10 unit F-16C dan 2 unit F-16D, bersama pelbagai komponen senjata, sistem elektronik, peluru berpandu, radar, alat ganti dan latihan.


Walaupun pakej ini merangkumi lebih daripada sekadar pesawat, ia memberi gambaran mengenai kos keseluruhan bagi memperoleh skuadron F-16 yang lengkap untuk operasi.
Perlu diingat bahawa anggaran ini termasuk pelbagai peralatan tambahan, sistem senjata, latihan, dan sokongan logistik yang bukan sebahagian daripada pesawat secara langsung
Pakej yang ditawarkan AS antaranya peluru berpandu jarak sederhana AIM-120 dan AIM-9X Sidewinder, sistem radar AESA AN/APG-83, sistem peperangan elektronik dan pod penjejak sasaran.
Turut disediakan dalam pakej adalah alat ganti, simulator, latihan, perisian dan peralatan teknikal.
F-16 Block 70 termasuk dalam generasi ke-4, tetapi merupakan versi paling canggih dari generasi tersebut dan memiliki teknologi setanding generasi 4.5+.

Varian ini telah menerima peningkatan teknologi canggih, termasuk radar AESA (seperti F-35) manakala kerangka pesawat F-16 sudah terbukti dalam beberapa pertempuran moden.
Berdasarkan analisis, harga sebenar bagi sebuah pesawat F-16 Block 70 tanpa kelengkapan tambahan dianggarkan sekitar AS$70 juta hingga AS$80 juta (RM280 juta hingga RM335 juta).
Bagaimana pun, kos pesawat meningkat apabila dilengkapi dengan pelbagai sistem peperangan elektronik, radar terkini, sistem komunikasi dan senjata pintar.
Sesuatu pembelian kelengkapan baharu pesawat tempur juga meliputi kos latihan juruterbang, pembinaan fasiliti dan penyelenggaraan turut dimasukkan dalam pakej.


Walaupun pesawat F-16 tidak berada dalam senarai untuk perolehan masa hadapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), namun kebarangkalian berlaku perubahan citarasa tidak boleh ditolak.
Tidak mustahil Washington pada masa hadapan boleh menawarkan F-16 kepada Malaysia melalui penjualan FMS sebagai pengganti kepada Hornet terpakai Kuwait yang dibatalkan.
Sebagai pengguna pesawat Hornet, Malaysia masih dilihat sebagai rakan strategik AS di rantau ini yang mana usaha membina kerjasama termasuk melibatkan pembangunan pertahanan.
Imbas kembali, TUDM sepatutnya menjadi pengguna pertama pesawat F-16A/B di rantau ini apabila kerajaan Malaysia pada tahun 1988 mengumumkan persetujuan membeli lapan pesawat tersebut.

Pembelian ini bagi memodenkan keupayaan TUDM yang bergantung kepada pesawat A-4 Skyhawk PTM dan F-5E, kedua-duanya buatan AS.
Bagaimana pun, cadangan perolehan F-16A/B dibatalkan, sebaliknya Malaysia memilih oesaw Tornado buatan UK, tetapi kemudiannya digantikan dengan pesawat Hawk. - DagangNews.com
standard




