
Dalam satu berita yang mungkin tidak begitu mengejutkan, Nintendo hari ini telah mengumumkan bahawa syarikat gaming tersebut akan menaikkan harga penawaran siri konsol Nintendo Switch mereka, yang merangkumi semua penawaran konsol mereka sekarang, dari Nintendo Switch, Nintendo Switch Lite, Nintendo Switch OLED dan Nintendo Switch 2.
Menurut pengumuman tersebut, konsol-konsol ini akan memperlihatkan kenaikan harga untuk pasaran Jepun bermula 25 Mei 2026.

Konsol-konsol untuk pasaran jepun akan memperlihatkan purata peningkatan harga kira-kira 10 ribu yen untuk semua konsol-konsol tersebut khususnya kerana bencana kekurangan RAM yang sedang berlaku sekarang.
Tanda harga konsol Nintendo Switch 2 juga akan diperlihatkan di pasaran-pasaran Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah bermula 1 September 2026, yang mana konsol tersebut untuk pasaran AS akan memperlihatkan kenaikan $50 dari $449 ke $499. Untuk pasaran Kanada, harga baru Nintendo Switch 2 adalah $CAD679.99 manakala di Eropah pula, ia akan dinaikkan ke 499.99 Euro.

Oleh kerana Nintendo Switch juga kini ditawarkan secara rasmi di pasaran Malaysia, jangkaannya ialah isu kenaikan harga konsol ini juga akan memberi kesan kepada pasaran tempatan. Akan tetapi buat masa ini kita tidak tahu lagi berapakah harga baru Nintendo Switch yang akan ditawarkan, dan bilakah kenaikan tersebut akan berlaku.

Buat masa ini, Nintendo Switch 2 ditawarkan di Nintendo Malaysia Official Store di Shopee pada harga RM2288.




