Harga turun, lebih 1.5kg emas licin

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 7:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga turun, lebih 1.5kg emas licin

KOTA BHARU: Penurunan harga emas semasa kepada RM580 satu gram menyaksikan premis perniagaan barangan kemas itu diserbu golongan wanita di ne­geri ini untuk mendapatkannya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada premis menjual lebih 1.5 kilogram logam itu sepanjang cuti persekolahan dan sambutan hari kemerdekaan, hujung bulan lalu.

Jurucakap MZ Gold Sdn. Bhd, berkata, kejatuhan harga emas semasa ketika ini mendorong kepada peningkatan jualan.

Katanya, jumlah 1.5 kg itu merangkum emas baharu dan terpakai yang menjadi pilihan pelanggan.

“Tren kali ini agak berbeza apabila 70 peratus yang dijual itu adalah emas baharu dan selebihnya terpakai.

“Walaupun emas terpakai, reka bentuknya masih lagi rele­van dan mampu menarik minat para pembeli. Harga emas baharu ketika ini adalah sekitar RM580 satu gram, bergantung kepada jenis dan reka bentuk barang kemas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jurucakap itu berkata, penurunan harga semasa turut membuka peluang kepada pelanggan mendapatkan emas pada harga yang lebih berpatutan.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan permintaan terhadap emas masih mendapat sambutan dalam kalangan pe­langgan walaupun keadaan harga komoditi berkenaan sentiasa berubah.

Sementara itu, Zakiah Zakaria, 48, berkata, dia mengambil kesempatan di sebalik kejatuhan harga emas ketika ini untuk menambah koleksi barang kemas.

Katanya, kejatuhan logam itu memberi ruang mendapatkan reka bentuk baharu yang lebih menarik pada harga yang lebih murah.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang, jadi rugi kalau kita tidak merebutnya,” ujarnya. – UTUSAN

The post Harga turun, lebih 1.5kg emas licin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved