
KLANG, 19 MEI: Sambutan Hari Belia Negara (HBN) peringkat Selangor pada Sabtu dan Ahad di KSL Esplanade Mall, di sini menjadi medan penting memupuk kepimpinan anak muda selain membuka peluang jaringan serantau menerusi Asean.
Presiden Majlis Belia Selangor Dato’ Imran Tamrin berkata lebih 5,000 hadir ke program yang mengetengahkan pameran kerjaya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendedahan kepada peluang jaringan antarabangsa.
“Sempena Malaysia menjadi Pengerusi Asean tahun ini, kita ambil peluang membuka reruai khas mengenainya. Ia menjadi platform untuk berkongsi perspektif serantau dengan anak muda.
“Penyertaan belia dalam program ini memberikan dampak positif kepada ekonomi, sosial dan pembangunan kepimpinan, selain beri peluang belia untuk berkarya,” katanya ketika berucap pada majlis program berkenaan, semalam.

Bertemakan Yakin Boleh, program dua hari itu turut dimeriahkan dengan pertandingan e-sukan dan persembahan kebudayaan selain klinik guaman dan pameran dari pelbagai agensi.
Terdahulu, majlis penutup disempurnakan EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin, mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.
Jamaliah turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri serta insentif khas kepada atlet cemerlang Selangor sempena kejohanan Parasukma XXI Sarawak 2025.



The post Hari Belia Selangor medan pupuk kepimpinan anak muda, buka jaringan serantau appeared first on Selangorkini.

