
KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak istimewa berjaya mencuri perhatian ramai apabila impiannya untuk bertemu pemain kegemarannya akhirnya menjadi kenyataan dalam satu momen yang menyentuh hati.
Menerusi perkongsian tular di akaun Threads milik pengguna @ainasfya_, dia berkongsi kisah adiknya, Aqil, yang merupakan seorang anak istimewa sindrom Down dan peminat tegar Selangor FC khususnya bintang sensasi, Faisal Halim.
Menurutnya, hari tersebut mungkin menjadi hari paling bermakna dalam hidup Aqil apabila dia akhirnya dapat bertemu idola kesayangannya secara bersemuka.
“Hari-hari dia sebut nama Faisal Halim. Kami selalu cakap, apa jadi kalau Aqil dapat jumpa dia. Sekarang kami dah tahu,” tulisnya.
Dalam video yang dikongsikan, Aqil dilihat begitu teruja sehingga memeluk pemain kebangsaan itu tanpa henti. Wajahnya jelas berseri-seri dan senyumannya tidak lekang selepas pertemuan berkenaan.
Menurut kakaknya lagi, Aqil terlalu gembira sehingga enggan makan kerana masih teruja dengan pengalaman tersebut.
Momen Penuh Makna
Perkongsian itu turut meraih perhatian netizen yang rata-rata tersentuh melihat kegembiraan Aqil.
“Ya Allah bahagianya dia…,” tulis seorang pengguna.
“Allahu, tak dapat bayang besarnya makna untuk insan istimewa. More than just a football,” komen seorang lagi.
Malah ada yang menyifatkan detik itu sebagai impian yang akhirnya menjadi kenyataan buat Aqil.
Difahamkan, video tersebut dirakam oleh salah seorang pengunjung yang hadir dan dikongsikan kepada keluarga Aqil. Mereka turut mencari individu berbaju tudung merah yang dipercayai merakam dari sudut berbeza bagi mendapatkan rakaman tambahan kenangan manis itu.
Selain itu, Aqil juga sempat memeluk ketua jurulatih Kim Pan Gon dalam satu lagi rakaman yang dikongsi ahli keluarganya.
Rata-rata netizen menyifatkan detik spontan itu sebagai bukti bahawa sukan bukan sekadar permainan, sebaliknya mampu membawa kebahagiaan luar biasa terutama buat insan istimewa.
Perkongsian tersebut kini terus tular dan menerima ribuan tanda suka serta komen positif daripada warga maya yang turut sama menumpang gembira melihat senyuman Aqil. – The Malaysian Update
The post “Hari-Hari Sebut Nama Faisal Halim” — Saat Aqil Akhirnya Dakap Idola, Ramai Sebak Lihat Kebahagiaannya appeared first on The Malaysian Update.

