
GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar sekitar Pos Gob, di sini perlu berjalan kaki atau menunggang motosikal kira-kira sejam melalui jalan tanah untuk mendapatkan perkhidmatan internet satelit kelajuan tinggi, Starlink berikutan ketiadaan rangkaian telekomunikasi di kawasan mereka.
Seorang penduduk Kampung Berog, Suni Kenton, 32, berkata, ketiadaan liputan telefon dan internet di kampung itu menyebabkan mereka tiada pilihan lain, terpaksa meredah perjalanan sejauh 15 kilometer ke Pos Gob untuk mendapatkan talian internet.
Katanya, kemudahan rangkaian telekomunikasi amat diperlukan bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat serta menghubungi pihak luar ketika berlaku kecemasan.
“Ketiadaan liputan telefon menyebabkan kami sukar untuk berhubung dengan pihak luar jika berlaku kes kecemasan seperti ahli keluarga sakit atau serangan haiwan liar.
“Kami terpaksa berjalan kaki atau menunggang motosikal melalui jalan tanah ke Kampung Gob untuk menggunakan Starlink kerana perkhidmatan internet itu hanya diperoleh pada jarak 100 meter,” katanya.
Katanya, perkhidmatan Starlink dengan kos pemasangan hampir RM20,000 di penempatan itu disediakan syarikat berkaitan kerajaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat setahun lalu.
Seorang penduduk Kampung Gob, Farizul Jambul, 35, berkata, pembinaan menara telekomunikasi bukan sahaja memudahkan penduduk berhubung dengan keluarga di luar, tetapi mengurangkan kebergantungan kepada kemudahan Starlink yang hanya boleh digunakan di lokasi tertentu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah memohon pembinaan pencawang atau menara telekomunikasi di kawasan berkenaan sejak dua tahun lalu kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
The post ‘Hari ini ‘live’, esok pun belum tentu dapat tengok’ appeared first on Kosmo Online.
