Hari Kebangsaan: Masyarakat Orang Asli Hiasi Kampung, Kediaman Dengan Jalur Gemilang

18 Aug 2022 • 4:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seramai 500 murid Orang Asli dari suku Mendriq dan Batek mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat cintakan negara sempena program komuniti bersama KEMAS Gua Musang di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini. - Gambar Bernama

GUA MUSANG - Tiga belas hari menjelang Hari Kebangsaan kemeriahan serta semangat sambutan semakin terasa, tidak ketinggalan buat 500 masyarakat Orang Asli suku Mendriq dan Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini.

Biarpun terletak hampir 100 kilometer (km) dari Bandar Gua Musang, mereka menzahirkan semangat patriotik dengan memasang Jalur Gemilang di sekitar kawasan kampung dan kediaman.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, 33, berkata walaupun tinggal di kawasan pedalaman, sebagai rakyat Malaysia memasang Jalur Gemilang merupakan antara kaedah menunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dengan memasang Jalur Gemilang juga merupakan antara cara kami menunjukkan rasa syukur di atas keamanan negara hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Komuniti Kemas Gua Musang, di sini semalam.

Menerusi sambutan program itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gua Musang bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli memasang bendera di sekitar kampung dan kediaman penduduk.

Bagi Penghulu Kampung Mancang, Mohd Azman Talib, 39, biarpun tinggal jauh di pedalaman, masyarakat Orang Asli turut memahami erti kemerdekaan yang dinikmati rakyat negara ini. 

“Kami bersyukur berada di dalam negara yang aman damai meskipun hidup dalam masyarakat berbilang kaum. 

  “Terima kasih di atas pelbagai kemudahan yang disediakan untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, ini membuatkan kami lebih bersemangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan (Hari Kebangsaan) saban tahun,” katanya. - Bernama