Hari Kebangsaan: Rapid KL lanjut operasi rel, bas terpilih 24 jam

21 Aug 2026 • 6:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hari Kebangsaan: Rapid KL lanjut operasi rel, bas terpilih 24 jam

PETALING JAYA: Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam pada 30 hingga 31 Ogos ini bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena ambang merdeka dan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Prasarana Malaysia Berhad memaklumkan, operasi itu melibatkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

Katanya, bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkat di beberapa laluan utama berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen.

“Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Prasarana, perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) akan turut beroperasi selama 24 jam.

Katanya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 buah bas menerusi dua laluan iaitu MS01 dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 yang akan beroperasi dari 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada 31 Ogos.

Sementara laluan MS02 pula dari PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 dari 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

“Perkhidmatan bas perantara percuma bagi memudahkan akses orang ramai ke kawasan sambutan dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitar Putrajaya,” katanya.

Prasarana berkata, lebih 5,000 petugas akan ditempatkan mengikut syif bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang sepanjang tempoh berkenaan.

“Rapid KL menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Penumpang turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch ’n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi,” katanya. – UTUSAN

The post Hari Kebangsaan: Rapid KL lanjut operasi rel, bas terpilih 24 jam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved