
KUALA LUMPUR: Kehadiran beberapa kenderaan polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta petang ini mencuri tumpuan petugas media yang sudah memasuki hari ketiga ‘berkampung’ di kawasan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sebuah kereta peronda polis jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berada di sekitar perkarangan kediaman itu kira-kira pukul 3.20 petang sebelum dilihat memasuki kediaman Najib kira-kira pukul 3.30 petang.
Manakala, sebuah van polis kemudian tiba kira-kira pukul 3.50 petang sebelum kenderaan berkenaan dilihat beredar dari kawasan kediaman itu sekitar pukul 3.54 petang.
Bagaimanapun, tujuan kehadiran kedua-dua kenderaan polis itu masih belum dapat dipastikan, termasuk sama ada ia berkaitan pertukaran anggota bertugas atau urusan lain melibatkan penugasan polis di kawasan kediaman berkenaan.
Setakat tinjauan dilakukan, tiada sebarang sekatan jalan raya dilaksanakan di sekitar Jalan Langgak Duta dan laluan menuju ke kediaman bekas Perdana Menteri itu kekal seperti biasa.
Selain itu, petugas media dilaporkan mula berada di lokasi seawal pukul 9 pagi dan terus menunggu sehingga pukul 4 petang dalam cuaca panas bagi mengikuti sebarang perkembangan terbaharu membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, selepas hampir tujuh jam menunggu, tiada sebarang pergerakan luar biasa atau tanda-tanda bahawa Najib akan dibawa ke kediaman berkenaan dikesan.
Keadaan di sekitar kediaman itu juga kekal tenang tanpa kelibat penyokong Najib atau pengunjung awam, selain tiada anggota polis atau pihak berkuasa dilihat mengawal kawasan berkenaan.
Setakat ini, belum dapat dipastikan bila Najib akan keluar dari Penjara Kajang atau sama ada beliau akan dibawa ke kediamannya bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Awal pagi tadi, akhbar ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, permohonan itu bertujuan untuk memohon ampun serta menzahirkan pendirian Peguam Negara untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib dalam kes SRC International.
Permohonan itu dibuat susulan pengumuman Jabatan Peguam Negara (AGC) pada lewat petang Jumaat lalu yang menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan.
Jumaat lalu, media melaporkan Najib selesai menjelaskan denda RM50 juta dalam kes SRC International Sdn. Bhd. di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada hari sama, pegawai khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar dilaporkan hadir ke mahkamah kira-kira pukul 11.30 pagi bagi menguruskan pembayaran dan melengkapkan prosedur pentadbiran sebelum bayaran itu dimuktamadkan.
Pembayaran berkenaan merupakan antara syarat dalam Perintah Pengampunan Bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Manakala, kediaman Najib di No. 11, Jalan Langgak Duta turut diisytiharkan sebagai penjara bagi tujuan penahanan di rumah mengikut Akta Penjara 1995. – UTUSAN
The post Hari ketiga media ‘berkampung’ di rumah Najib, kehadiran kenderaan polis curi tumpuan appeared first on Utusan Malaysia.






