KUALA LUMPUR - Khutbah solat Jumaat di Wilayah Persekutuan sempena Hari Malaysia, menekankan kepentingan kesepaduan dan kesatuan masyarakat di negara ini yang dihubungkan oleh Rukun Negara serta sikap toleransi.
Khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tersebut menegaskan, sikap toleransi dipertahan sejak dahulu itu akhirnya membentuk sebuah negara, iaitu Malaysia yang merdeka dan harmoni.
“Kedua, setiap perselisihan mesti dihadapi dengan kebijaksanaan dan perdamaian.
“Ketiga, hidup kita biarlah sentiasa saling bermuafakat dan membantu seperti ungkapan ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’ supaya ia dapat mengekalkan kerukunan serta keharmonian negara, seterusnya masyarakat dapat hidup dalam suasana ramah dan mesra,” katanya.
Di Selangor, khutbah solat Jumaat menyeru umat Islam untuk bersyukur di atas nikmat kemerdekaan dan kedaulatan negara dengan menyuburkan semangat cintakan tanah air.
Umat Islam, jelasnya, hendaklah mengambil bahagian dan peranan dalam meningkatkan kesepaduan sosial, pendidikan holistik serta keutuhan ekonomi untuk mengekalkan kestabilan sosiopolitik negara.
“Umat Islam hendaklah menyedari bahawa Islam dengan segala ajarannya adalah agama yang memimpin manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
“Umat Islam hendaklah menjadi ‘king maker’ dalam menentukan hala tuju ummah dan negara,” menurut khutbah terbitan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.
Sementara itu, di Pahang, khutbahnya menyeru umat Islam sama ada pemimpin atau rakyat berdakwah secara bersungguh-sungguh agar seluruh warganegara memahami Islam dan mengajak mereka memeluk agama Islam kerana ia adalah perintah Allah serta Rasul.
“Kita bersukur kepada Allah kerana pembentukan negara Malaysia berjalan secara aman dan harmoni.
“Kita juga menghargai perjuangan dan sumbangan besar dilakukan pemimpin kita terdiri daripada pejuang kemerdekaan, Raja Melayu, alim ulama dan pemimpin politik dalam memastikan keamanan negara kita yang dicintai,” katanya. - Getaran, 16 September 2022

