Hari raya Jumaat atau Sabtu?

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 10:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kekecohan mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor. Gambar hiasan

RAMADAN kini di penghujungnya. Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut 1 Syawal, hari kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga serta memperbanyakkan ibadah.

Namun, ketika Ramadan hampir melabuhkan tirai, kecoh di media sosial – raya Jumaat atau Sabtu? Muncul 'pakar falak' tidak bertauliah yang menentukan tarikh hari raya mengikut 'kemahiran' masing-masing.

Di kedai kopi, di pejabat, dalam kumpulan WhatsApp, malah di TikTok, topiknya sama sahaja: raya Jumaat atau Sabtu? Ada yang sudah yakin sepenuhnya raya jatuh pada Jumaat.

Tidak kurang juga yang siap membuat kira-kira sendiri berdasarkan kedudukan bulan yang entah dari mana sumbernya. Timeline di media sosial juga dipenuhi dengan perdebatan sama ada kita akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat atau Sabtu.

Kekecohan mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor.

Pertama, percanggahan antara kalendar fizikal dan kalendar digital. Kebanyakan kalendar cetakan mencatatkan 1 Syawal pada hari Sabtu, manakala sebahagian kalendar digital pula menunjukkan kemungkinan ia jatuh pada hari Jumaat. Perbezaan inilah yang mencetuskan kekeliruan.

Kedua, kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan berulangnya insiden 'raya mengejut' seperti yang berlaku pada tahun 2022.

Susulan spekulasi yang semakin meluas, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar rakyat tidak membuat andaian melulu serta tidak mudah mempercayai khabar angin di media sosial.

Baginda menegaskan bahawa penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri perlu diserahkan kepada pihak berautoriti yang bertanggungjawab menjalankan cerapan anak bulan mengikut kaedah yang ditetapkan.

Kebimbangan masyarakat juga ada asasnya. Rakyat masih mengingati apa yang berlaku pada tahun 2022 apabila pengumuman hari raya dibuat pada saat akhir sehingga ramai yang benar-benar tidak bersedia.

Ketika itu, sebahagian umat Islam masih dalam suasana Ramadan. Ada yang belum sempat menyediakan juadah raya, ada yang belum membeli pakaian baharu, malah ada juga yang belum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Akibatnya, jalan raya tiba-tiba sesak, kedai runcit dipenuhi orang ramai dan dapur rumah menjadi medan 'perang' memasak pada saat akhir. Raya tetap raya, tetapi suasana persiapan terasa kelam-kabut.

Sudah tentu kita memahami bahawa penentuan hari raya dalam Islam mempunyai kaedah tersendiri melalui cerapan anak bulan dan pengiraan falak yang telah diamalkan sejak sekian lama.

Di Malaysia, penentuan ini berasaskan kriteria Imkanur Rukyah, iaitu melihat sama ada kedudukan anak bulan memenuhi syarat tertentu dari segi ketinggian dan jarak lengkung selepas matahari terbenam pada hari ke-29 Ramadan.

Jika hilal (anak bulan) kelihatan atau memenuhi kriteria yang ditetapkan, maka hari raya disambut pada keesokan harinya. Jika tidak, Ramadan akan digenapkan menjadi 30 hari.

Bagi tahun ini, proses rasmi cerapan anak bulan Syawal dijadualkan pada petang Khamis, 19 Mac bersamaan 29 Ramadan. Selepas matahari terbenam, pasukan falak di seluruh negara akan memfokuskan peralatan mereka ke ufuk barat.

Keputusan akan diumumkan secara rasmi kepada rakyat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada jam 8 malam melalui siaran televisyen. Jadi, tidak perlu kalut atau percaya khabar angin yang berlegar di media sosial. Tunggu sahaja pengumuman rasmi.

Sama ada raya jatuh pada Jumaat yang barakah atau Sabtu yang ceria, hakikatnya tetap sama. Aidilfitri adalah simbol kemenangan selepas sebulan berjuang melawan nafsu dan memperbanyakkan amal ibadah.

Keresahan tentang 'bila' tidak sepatutnya mengatasi makna sebenar 'apa' yang kita raikan. Jika Jumaat, kita bersyukur. Jika Sabtu, kita masih mempunyai sehari lagi untuk merebut pahala Ramadan.

Apa yang penting, jangan sampai kita terlalu sibuk meneka tarikh raya sehingga terlupa menghargai hari-hari terakhir Ramadan.

Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu, jangan bimbang, kita dapat cuti tambahan hari raya. Yey!

*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan