Hari Tanpa Kenderaan MPAJ meriah, semarak budaya sihat dan komuniti hijau

25 May 2025 • 7:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Muhammad Rey Hazriell

AMPANG JAYA, 25 MEI: Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disambut meriah dengan kehadiran lebih 500 penduduk setempat yang menyertai pelbagai aktiviti santai dan sihat.

Timbalan yang dipertuanya berkata program berteraskan gaya hidup sihat dan pembentukan komuniti hijau itu turut berperanan merapatkan hubungan MPAJ dengan warga Ampang Jaya yang juga pembayar cukai.

“MPAJ juga komited untuk membaik pulih dan membangunkan kemudahan di 10 kawasan yang terpilih.

“Dalam masa sama, kami akan terus menanam lebih banyak pokok dan menghidupkan suasana hijau yang selesa kepada semua,” kata Hasrolnizam Shaari kepada Media Selangor.

image is not available
Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari bergambar bersama peserta pertanding memasak sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Ampang Jaya pada 25 Mei 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya

Terdahulu, pelbagai acara dianjurkan antaranya jalan santai, zumba selain pelbagai pertandingan antaranya bola jaring, sepakan penalti, e-sukan PS5, memasak, deko hasil kebun dan mewarna.

Selain itu, zoo haiwan jinak, pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran agensi kerajaan dan swasta turut memeriahkan lagi program.

Sementara itu, Jurulatih Ampang Jaya Football Club Azlizal Mohd Sani menyifatkan penganjuran ini sebagai pendekatan bijak dalam menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, selain mencadangkan aktiviti seumpama diteruskan.

image is not available
Jurulatih Ampang Jaya Football Club Azrizal Bin Mohd Sani, 48. Foto AMIR IMRAN/MEDIA SELANGOR

“Aktiviti seperti ini boleh mengisi masa anak-anak dan menjauhkan mereka daripada ketagihan gajet dan ia juga mampu mengeratkan hubungan antara komuniti,” ujarnya yang mengendalikan acara sepakan penalti.

Sementara itu, pengajar Silat Seni Gayung Malaysia Kebangsaan Mozal Mustafa Kamal berkata program seperti ini sesuai untuk melibatkan golongan belia secara aktif.

“Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri tetapi juga mampu menjadi saluran mendidik anak muda menjauhi gejala sosial.

“Elok sekiranya ada juga sesi ilmu bersama pihak berkuasa seperti polis dan bomba,” tambah beliau.

image is not available
Warga Ampang Jaya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan e-sukan PS5 sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Ampang Jaya pada 25 Mei 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya

image is not available
Antara aksi peserta sepakan penalti sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Padang Perbandaran MPAJ Pandan Indah, Ampang Jaya pada 25 Mei 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya