KUANTAN - Sambutan luar jangka pelanggan pada hari terakhir operasi Secangkir Cafe di Sungai Karang di sini menyentuh hati keluarga apabila ada yang datang seawal jam 9.30 pagi untuk mendapat kek air tangan terakhir pemiliknya, Allahyarham Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32.
Adik arwah Nur Atiqah Sofiya iaitu Muhammad Hazim Rais Mohd Kazwan, 26, berkata, keluarga pada awalnya tidak menyangka begitu ramai pelanggan hadir selepas mereka menguar-uarkan pembukaan kafe berkenaan buat kali terakhir menerusi platform Threads.
Menurutnya, arwah kakaknya itu mempunyai ramai pelanggan tetap dan sering mendapatkan kek hasil air tangannya.
**media[3636596]**
“Sambutan pelanggan pada hari terakhir Secangkir Cafe memang di luar jangka, tak sangka seramai ini pengunjung datang.
"Hanya 100 potong kek asli air tangan terakhir arwah Angah (arwah Nur Atiqah Sofiya) disediakan untuk pelanggan hari ini dan kuponnya habis diagihkan tak sampai setengah jam," katanya ketika ditemui di kafe itu pada Jumaat.
Allahyarham Nur Atiqah Sofiya maut bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, selepas Proton S70 yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) dekat Temerloh pada Isnin lalu.
Susulan tragedi itu, keluarga mengumumkan kafe yang beroperasi di Sungai Karang di sini itu tidak akan meneruskan operasinya.
**media[3636614]**
Muhammad Hazim Rais berkata, biarpun kupon sudah habis diagihkan, orang ramai tetap menunggu untuk mendapatkan minuman yang disediakan di kafe berkenaan selain beberapa barangan yang dilelong.
“Memang terharu dan sebak melihat sambutan ini. Kalaulah arwah dapat tengok, tentu dia senang hati melihat pelanggan masih datang memberi sokongan,” katanya.
Tambahnya, keluarga sudah bersiap untuk membuka kafe itu buat kali terakhir seawal jam 9 pagi dan pelanggan mula hadir jam 9.30 pagi.
“Kami jelaskan kepada pelanggan kafe hanya akan buka pada jam 3 petang tapi jam 1 petang pun dah ramai yang mula menunggu," katanya.
Jelasnya lagi, keluarga mengambil keputusan untuk tidak meneruskan operasi Secangkir Cafe kerana tidak mampu membawa legasi yang dibina arwah selama ini.
**media[3636597]**
Katanya, keistimewaan kek yang dihasilkan di kafe berkenaan adalah hasil tangan arwah dan sukar untuk digantikan oleh orang lain.
“Kita tidak mampu bawa nama Secangkir ini. Nama Secangkir akan berakhir hari ini.
"Premis kafe ini akan diserahkan semula kepada pemiliknya dan nama Secangkir Cafe tidak lagi digunakan pada masa akan datang. Legasi Secangkir sampai di sini sahaja,” katanya.
Menurutnya, perjalanan perniagaan arwah kakaknya itu bermula lebih awal sebelum membuka kafe berkenaan.
"Dulu arwah jual kek dan makanan secara dalam talian jadi nama Secangkir ini bukan baru bermula. Sebelum buka kafe ini, arwah sudah menjual secara dalam talian sejak enam, tujuh tahun lalu.
“Jadi apa yang ada di sini hasil usaha dan air tangan arwah selama ini,” katanya.
Sebelum itu, tinjauan Sinar Harian di kafe berkenaan mendapat pelanggan memenuhi khemah disediakan menunggu giliran untuk membeli kek dan minuman disediakan.
Pelanggan yang ditemui bukan hanya pelanggan tetap namun ada yang mengambil peluang hari terakhir itu untuk mencuba menu istimewa Secangkir Cafe.
Pelanggan dari Kemaman, Terengganu, Asyraff Mat Dalam,30 mengambil peluang hari terakhir kafe itu untuk merasai keistimewaan kek dan kopi di situ.
**media[3636603]**
"Saya dapat tahu 'owner' kafe ni dah tiada dan akan ditutup sebab tak ada orang nak teruskan, jadi saya ambik kesempatan singgah hari ini.
"Selalu lalu di sini cuma tak berkesempatan singgah, hari ini harap dapatlah merasainya.Ingat dah awal, rupanya ramai lagi yang datang beratur lebih awal," katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Mohamad Hidayatullah Mohamed, 28 dan Syairah Aqilah Zakaria, 27 terkilan kerana tidak dapat merasai kek `butter lemon' daripada air tangan arwah.
Syairah Aqilah yang kini mengandung tujuh bulan anak sulung teringin menikmati kek itu sejak minggu lepas dan telah menyuarakan hasratnya itu kepada Nur Atiqah Sofiya sebelum tragedi itu.
"Memang terkilan, dah lama mengidam kek butter lemon tetapi tiada rezeki.
"Saya mengenali arwah kerana dia yang menjadi jurugambar perkahwinan kami pada 2 Mac 2024.," katanya.



