
JERANTUT – Bangkai empat ekor anak lembu baka Brahman dengan sebahagian anggota badan sudah dimakan mengejutkan seorang penternak ketika memeriksa ladang sawit di Felda Kota Gelanggi Dua di sini pagi ini.
Penternak, Mohd Junaidi Juhairi, 40, berkata, dia menemui bangkai pertama dengan hanya tinggal sebahagian anggota kaki dan kepala di tepi sebatang pokok sebelum menemukan tiga lagi bangkai anak lembu yang dipercayai dibaham harimau kumbang.
“Kejadian ini kemungkinan berlaku beberapa hari lalu berdasarkan bangkai ternakan yang mulai busuk.
“Kebetulan saya pula tidak masuk ke ladang dalam tempoh berkenaan kerana ada urusan lain,”katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.
Mohd Junaidi berkata, kejadian itu menyebabkan dia menanggung kerugian hampir RM7,000 kerana kesemua anak lembu berkenaan baru dibeli sejak tiga bulan lalu.
Tambahnya, dia sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memaklumkan kejadian itu serta meminta pemantauan dilakukan di kawasan berkenaan.
“Saya harap harimau berkenaan dapat ditangkap kerana bimbang keselamatan 40 ekor lembu lagi yang diternak secara lepas bebas di ladang sawit ini turut terancam sekiranya haiwan liar itu masih berkeliaran,”katanya.
Sementara itu, seorang lagi penternak, Mohd Ridzuwan Che Dan, 43, berkata, kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan kepada kira-kira 200 penternak di Felda berkenaan dan kawasan berhampiran.
Katanya, mereka kini berasa takut untuk memasuki ladang bagi memberi makanan kepada ternakan, selain perlu lebih berhati-hati ketika mengutip buah sawit dan memunggahnya ke dalam lori.
“Kami berharap pihak berwajib dapat memantau keadaan serta menangkap haiwan liar itu untuk dipindahkan ke tempat lain,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Harimau kumbang baham anak lembu ‘sado’ sampai tinggal tulang appeared first on Kosmo Online.
