Harimau kumbang muncul di kawasan kuarters Hospital Gua Musang

LocalEnvironment
3 Apr 2026 • 8:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Biri-biri yang tinggal tulang dan kepala dipercayai dimakan harimau.  - Foto: Dr Muhamad Afiq Fahmi 

GUA MUSANG – Seekor biri-biri milik seorang kakitangan kesihatan ditemukan hanya tinggal kepala dan tulang selepas dipercayai dibaham harimau kumbang dalam kejadian berhampiran kuarters Hospital Gua Musang pada pagi Jumaat.

Dr Muhamad Afiq Fahmi Md Zuhaidi, 29, berkata, kejadian itu disedarinya kira-kira jam 7 pagi ketika ingin memberi makan haiwan ternakannya yang ditambat di kawasan berbukit kira-kira 10 meter dari rumahnya.

“Saya baru membela biri-biri itu kira-kira tiga hingga empat hari lalu untuk dijadikan hidangan kambing golek sempena majlis Hari Raya Aidilfitri jabatan pada pertengahan bulan ini.

“Sekitar jam 10 malam tadi, ketika saya memberi makan, biri-biri itu masih ada, namun pagi ini apabila diperiksa, hanya tinggal kepala serta tulang sahaja, dipercayai dibaham harimau,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tambahnya, kawasan ternakan yang ditambat itu terletak kira-kira 200 meter dari sebuah gua di belakang kuarters hospital tempat tinggalnya, selain berhampiran kawasan hutan.

Afiq Fahmi berkata, terdapat penghuni kuarters lain yang sebelum ini pernah melihat kelibat haiwan dipercayai harimau kumbang berwarna hitam di kawasan gua berkenaan kira-kira sebulan lalu.

“Ada yang nampak harimau di gua itu yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari kuarters.

“Apabila ditanya penduduk berdekatan, mereka memaklumkan kawasan itu sememangnya kadang-kadang terdapat harimau,” katanya.

Beliau yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu dan mula menetap di kuarters itu sejak tahun lalu turut memaklumkan sudah berhubung dengan kakitangan Perhilitan melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya bercadang untuk membuat aduan rasmi pada Ahad ini,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kira-kira 50 penghuni kuarters, terutama mereka yang mempunyai anak kecil.

“Kami memang risau kerana kawasan ini berhampiran hutan dan gua.

“Sekarang ini kami mengambil langkah berjaga-jaga terutama apabila keluar pada waktu malam,” katanya.

Beliau berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dapat segera mengambil tindakan termasuk memasang perangkap bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

View Original Article