Harimau Malaya bangkit tundukkan Timor-Leste

LocalFootball
11 Dec 2024 • 11:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad diasak pemain Timor-Leste pada perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Foto Bernama

HARIMAU Malaya terpaksa bersusah payah sebelum berjaya menewaskan pasukan di ranking ke-196 dunia, Timor-Leste 3-2 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.

Separuh masa pertama menyaksikan Harimau Malaya yang berada di ranking ke-132 dunia bergelut untuk menyusun gerakan dan peluang ke gawang Timor-Leste.

Malah, skuad negara kendalian Pau Marti Vicente itu turut beberapa kali cemas menerusi serangan balas pantas yang dilakukan pasukan pelawat menerusi bahagian sayap mereka.

Bagaimanapun, Harimau Malaya berjaya membuka tirai jaringan menerusi Syafiq Ahmad yang berjaya menyudahkan hantaran lintang Fergus Tierney pada minit ke-37.

Timor-Leste menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi Olagar Xavier yang mudah menyempurnakan hantaran Joao Pedro berpunca daripada serangan balas pantas.

Tidak cukup dengan gol tersebut, Pedro sekali lagi bertindak cemerlang untuk meledak gol kedua pelawat menerusi larian solo sebelum menewaskan Kalamullah Al Hafiz untuk menutup separuh masa pertama dengan kedudukan 2-1.

Malaysia perlu menunggu sehingga minit ke-70 sebelum berhasil meraih gol penyamaan menerusi melalui jaringan Paulo Josue.

Gol kemenangan yang dinantikan tiba juga sekali lagi menerusi Josue pada minit ke-83 untuk memastikan tiga mata berharga buat pasukan negara.

Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya naik ke kedudukan teratas Kumpulan A dengan empat mata selepas dua perlawanan.

Thailand pula di kedudukan kedua dengan tiga mata dan beraksi kurang satu perlawanan manakala Singapura dikedudukan ketiga dengan enam mata.

Keemboja pula di kedudukan keempat dengan satu mata dan Timor-Leste di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Malaysia akan bertemu Thailand di Bangkok pada Sabtu ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved