
SKUAD Harimau Malaya memulakan aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan bergaya apabila menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Bermula garang sebaik wisel permulaan menyaksikan skuad Harimau Malaya memiliki sekurang-kurangnya dua peluang terbaik bagi meledak jaringan pembukaan.
Peluang terbaik skuad negara untuk meledak jaringan pembukaan hadir pada minit ke-7, namun tandukan penyerang, Romel Morales Tinggi melepasi palang.
**media[3061538]**
Skuad negara sekali lagi berpeluang merobek gawang Nepal, namun jentera serangan gagal memanfaatkan peluang dalam keadaan kelam kabut di depan gawang lawan pada minit ke-20.
Minit ke-25, menyaksikan giliran Arif Aiman Hanapi untuk meledak jaringan pembukaan.
Bagaimanapun, rembatannya pada minit ke-24, gagal menepati sasaran biarpun penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu sudah pun tertewas.
Skuad negara akhirnya berjaya membuka jaringan menerusi pemain warisan, Hector Havel pada minit ke-29.
Tersentak dengan jaringan tersebut kesebelasan Nepal dilihat cuba bangkit dengan mengatur asakan ke pintu skuad negara.
Namun asakan-asakan skuad The Gorkhilas itu dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan untuk keputusan 1-0 memihak skuad negara kekal ke wisel penamat.
Babak kedua menyaksikan skuad negara semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.
Namun benteng Nepal dilihat berjaya menyerap asakan-asakan daripada jentera serangan skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, minit ke-71 menyaksikan Corbin Ong menggamatkan Stadium Sultan Ibrahim apabila menjaringkan gol hasil kesilapan pertahanan Nepal.
Penghujung perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan namun keputusan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan F menyaksikan Vietnam menewaskan Laos 5-0 di Stadium Go Dau, pada Selasa.

