Harimau Malaya Rancang Lawan Gergasi Dunia, Mahu Tingkat Prestasi Sebelum Piala Asia

Football
12 Jun 2025 • 4:09 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Harimau Malaya dijangka terus memperkukuh prestasi apabila jurulatih negara, Peter Cklamovski merancang perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus tinggi dunia sebagai sebahagian daripada persediaan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Harimau Malaya dahului carta

Menurut laporan Harian Metro, Cklamovski berkata perlawanan persahabatan berintensiti tinggi ini penting untuk menguji tahap sebenar skuad bimbingannya, sekaligus memberi gambaran jelas mengenai kemampuan pemain dalam menghadapi cabaran lebih besar.

image is not available

Foto: Harian Metro

“Kami sangat teruja dan saya yakin peminat juga akan suka dengan barisan lawan yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Buat masa ini, fokus kami adalah untuk berehat, menilai semula prestasi dan terus bekerja keras,” katanya.

Berdasarkan kalendar perlawanan antarabangsa, Malaysia dijangka mengharungi sekurang-kurangnya dua aksi penting dalam jendela antarabangsa pada September ini sebelum kembali fokus kepada Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Oktober.

Selepas kejayaan membenam cabaran Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F baru-baru ini, Malaysia kini mendahului carta kumpulan dengan kutipan enam mata maksimum hasil dua kemenangan.

image is not available

Foto: FB Harimau Malaya

Kempen kelayakan akan bersambung dengan pertemuan menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober, sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil lima hari kemudian.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya dijadual terbang ke Kathmandu untuk bertemu Nepal pada 18 November sebelum menutup kempen dengan perlawanan getir menentang Vietnam di Hanoi pada 31 Mac 2026, perlawanan yang dijangka menjadi penentu nasib kelayakan negara.

image is not available

Foto: FB Harimau Malaya

Format kelayakan kali ini cukup mencabar apabila hanya juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi.

Sumber: Harian Metro (Firdaus Hashim)