Harith Haiqal gembira Luqman Hakim kembali ke Harimau Malaya

Football
13 Nov 2025 • 6:59 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Harith Haiqal sambut baik kepulangan Luqman Hakim Shamsudin ke skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar mengakui gembira dengan kehadiran penyerang Negeri Sembilan FC Luqman Hakim Shamsudin dalam kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Nepal pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, 18 Nov ini.

Pemain Selangor FC itu optimis kehadiran Luqman Hakim mampu memberi nilai tambah kepada pasukan bimbingan Peter Cklamovski sepanjang kem latihan pusat bermula 10 Nov lepas bagi perlawanan berkenaan yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

“Sejujurnya, saya gembira Luqman Hakim kembali ke dalam pasukan kebangsaan dan harapnya dapat peluang (beraksi bersama Harimau Malaya). Saya percaya dia akan memberi yang terbaik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kali terakhir bekas pemain muda sensasi negara itu menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.

Harith Haiqal juga berkata beliau bersedia untuk beraksi sekiranya diberi peluang termasuk dengan Matthew Davies yang kembali disenaraikan selepas disisihkan akibat kecederaan sebelum ini.

Kali terakhir Davies beraksi untuk Harimau Malaya adalah ketika Malaysia membelasah Vietnam 4-0 pada aksi keempat Kelayakan Piala Asia 2027 Jun lepas.

Dalam pada itu, Harith Haiqal berkata kem latihan ketika ini berjalan lancar dan para pemain juga menampilkan komitmen baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang Nepal.

Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lepas.

Ketika ini, Malaysia kekal dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di Arab Saudi bermula Januari 2027. – Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved