Harn Len, Jutawan Enterprise meterai perjanjian teroka perniagaan ladang nanas

Business & FinanceStartup
14 Aug 2023 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harn Len, Jutawan Enterprise meterai perjanjian teroka perniagaan ladang nanas

diyana

14/08/2023 - 11:53

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Harn Len Corporation Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jutawan Enterprise untuk meneroka perniagaan perladangan nanas.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Harn Len berkata melalui kerjasama ini, ia membolehkannya terlibat dalam pembangunan dan pengurusan nanas tanpa kerisauan terhadap jualan memandangkan Jutawan Enterprise adalah pengeksport terbesar produk nanas di kawasan tempatan.

Sementara itu, syarikat perladangan tersebut berkata Jutawan Enterprise menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak produk buah-buahan bagi menstabilkan dan mengukuhkan rantaian bekalannya, memandangkan Jutawan Enterprise adalah salah satu pengeksport buah-buahan utama ke Timur Tengah.

Ketua Pegawai Operasi Harn Len, Low Yew Yern menyatakan bahawa ladang nanas lazimnya mempunyai kitaran hayat tanaman yang lebih pendek berbanding ladang kelapa sawit.

“Oleh itu, kami percaya ladang nanas mungkin mampu menjana pendapatan pantas untuk Harn Len.

“Ini seiring dengan pertumbuhan dan strategi perniagaan Harn Len, memandangkan syarikat tersebut telah menyelesaikan pengambilan tanah di Rompin pada Jun dan merancang untuk memasuki perniagaan nanas,” ujar beliau.

Dagangan Harn Len telah disambung semula setelah dihentikan selama satu jam dari 9 pagi hingga 10 pagi hari ini.

Saham Harn Len dibuka rendah pada 69.5 sen, turun 0.5 sen atau 0.7% dengan permodalan pasarannya bernilai RM406 juta. - DagangNews.com

View Original Article