
Kota Kinabalu: Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Nov ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021, meliputi 48 tahun.
Panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh A/L Serjit Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dan penghujahan pihak-pihak pada Khamis.
Pengurusan kes itu akan dijalankan melalui e-review.
Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi antara lain mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah berhubung hak negeri itu menerima 40 peratus hasil bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021 dalam tempoh 90 hari, serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah itu.
Hakim Datuk Celestina Stuel Galid membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Putrajaya merayu terhadap keputusan Celestina yang mendapati bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa undang-undangnya apabila gagal menyemak serta menyalurkan hak Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan bagi tempoh 1974 hingga 2021, berdasarkan Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Semakan kehakiman berhubung hak hasil berkenaan dimulakan oleh SLS.
Kerajaan Persekutuan mencabar sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk dapatan, perintah dan tempoh masa yang ditetapkan berkaitan tempoh 1974 hingga 2021.
Pada 6 April tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara pelaksanaan perintah serta rundingan dalam tempoh 180 hari itu sementara menunggu keputusan rayuan berkenaan.
Empat tahun lalu, SLS memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Nov 2022 untuk memulakan semakan kehakiman berkenaan.
Kerajaan Persekutuan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 16 Mei 2024, namun rayuan berkenaan ditolak pada 18 Jun 2024 tanpa perintah berhubung kos.
Kerajaan Persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, Nurhafizza Azizan, Azza Azmi, Safiyyah Omar dan Nur Atirah Aiman Rahim.
Pasukan guaman SLS pula terdiri daripada peguam Dr David Fung Yin Kee, Jeyan Marimuttu, Janice Junie Lim, Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu.
Kerajaan Sabah diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh, Peguam Kanan Negeri Mohd Saifurrazee Mohamed @ Hussin, Devina Teo dan Peguam Negeri Roland Alik.
Terdahulu, orang ramai mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu seawal 7 pagi bagi mengikuti sendiri prosiding berkenaan.
Antara tokoh yang hadir ialah bekas Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee, serta bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Jeffrey Kitingan. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan Datuk Roger Chin, Setiausaha Politik Ketua Menteri Datuk Azrul Ibrahim, Adun Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Musa, Adun lantikan Datuk Razali Razi serta beberapa wakil rakyat kerajaan turut hadir sebagai pemerhati.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan orang awam berdaftar memenuhi dewan persidangan kompleks itu yang berkapasiti 250 orang. Prosiding disiarkan melalui sistem audio visual mahkamah selepas pemeriksaan keselamatan wajib dijalankan.






