Hasil akhbar terus merosot, Star Media Group diramal alami kerugian lebih tinggi FY24-FY25 - Kenanga Research
herman
29/05/2024 - 11:19
KUALA LUMPUR 29 Mei - Keputusan suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) Star Media Group mengecewakan terutamanya disebabkan oleh kos dan kelemahan pendapatan pada segmen percetakan yang membawa kepada kerugian berterusan, kata Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, ini ditambah dengan jualan segmen hartanah yang perlahan sekali gus tidak banyak membantu pemulihan pendapatan kumpulan media itu.
"Kami meramalkan kerugian yang lebih tinggi dalam FY24F-25F, tetapi mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak 31 sen sesaham dan saranan 'Underperform'," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Star Media Group semalam melaporkan kepada Bursa Malaysia kerugian bersih RM193,000 bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 berbanding keuntungan bersih RM1.14 juta setahun sebelumnya, diheret oleh kos operasi yang lebih tinggi.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, segmen cetak terus mengalami kerugian dengan rugi bersih teras 1QFY24 yang berjumlah sebanyak RM700,000 di bawah ramalan tahun penuh sebanyak RM200,000 dan ramalan konsensus tahun penuh sebanyak keuntungan RM4.7 juta.
Katanya, prestasi yang lemah berbanding ramalan terutamanya disebabkan oleh kerugian yang lebih tinggi dari yang dijangkakan di bahagian cetak, digital dan acara.
"Keuntungan bersih teras YoY merudum menjadi negatif (1QFY23: keuntungan RM1.1 juta) ketika bahagian cetak mengekalkan kerugian sebelum cukai sejak 4QFY23.
"Ini disokong oleh pendapatan segmen yang lemah di tengah-tengah opex yang lebih tinggi.
"Tambahan pula, ini diburukkan lagi oleh sumbangan untung sebelum cukai yang lebih rendah (-21% YoY) dari segmen penyiaran radio," ujarnya.
Sementara itu, Kenanga Research berhati-hati terhadap kerugian teras yang berterusan daripada segmen cetak disebabkan tekanan pendapatan dan kos.
"Menurut data Nielson, perbelanjaan pengiklanan untuk penerbitan The Star meningkat 3% YoY dalam 1QFY24. Walau bagaimanapun, ini tidak diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan yang sepadan bagi segmen cetak yang merupakan tulang belakang Star.
"Selain itu, asas kos kumpulan tetap tinggi walaupun langkah-langkah pengoptimuman kos dilaksanakan dalam beberapa tahun terkini. Kami percaya bahawa beban opexnya datang daripada kertas akhbar yang mahal, yuran langganan agensi berita, kos kakitangan dan sebagainya," ujarnya.
Firma penyelidikan itu seterusnya kekal berhati-hati kerana penurunan adex yang berterusan untuk akhbar berikutan persaingan sengit dengan media digital baharu, lebihan berterusan dalam hartanah komersial iaitu permintaan sewa yang lemah untuk aset pejabat dan struktur kos yang tinggi.
"Ini termasuk kos kertas surat khabar yang mahal sekali gus membebankan margin," katanya.- DagangNews.com


