Hasil ELK-Desa pada 1QFY25 meningkat 17% kepada RM45.9 juta dipacu sumbangan lebih tinggi segmen sewa beli, perabot
azan
15/08/2024 - 15:27
KUALA LUMPUR 15 Ogos - ELK-Desa Resources Bhd mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17% kepada RM45.88 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2024 (1QFY25) berbanding RM39.18 juta berbanding tahun lalu hasil sumbangan lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabot.
Kumpulan berkata, bagaimanapun untung bersih mereka susut kepada RM8.1 juta berbanding RM8.5 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, jumlah belum terima daripada segmen sewa beli kumpulan pada 30 Jun 2024 berjumlah RM668.34 juta, peningkatan 16% berbanding RM574.47 juta tahun lepas.
"Ia mencerminkan strategi kumpulan bagi meluaskan lagi penghutang sewa belinya selepas ia mengatasi paras para pandemik pada tahun kewangan sebelumnya.
"Bagi menyokong pengembangan penghutang sewa belinya, pinjaman bank kumpulan meningkat sebanyak 26%. Walaupun begitu, kadar penggearan mereka kekal pada tahap terurus sebanyak 0.63x," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ELK-Desa berkata, bagi segmen perabot, hasil meningkat sebanyak 22% kepada RM15.17 juta, terutamanya disebabkan oleh aktiviti borong domestik yang lebih tinggi, terutamanya di Malaysia Timur, di mana kumpulan itu telah berkembang kukuh di Sabah dan Sarawak.
Katanya, margin kasar bagi segmen itu susut kepada 36% daripada 37% manakala perbelanjaan lain meningkat disebabkan kos jualan serta pengedaran yang lebih tinggi daripada kos penghantaran ke Malaysia Timur.
"Elaun rosot nilai juga meningkat kepada RM140,000 disebabkan pembayaran balik yang lebih perlahan daripada peniaga perabot pada suku ini berbanding suku yang sama tahun lepas.
"Di sebalik cabaran ini, segmen perabot masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM970,000 bagi suku tersebut," katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan ELK-Desa, Teoh Seng Hee berkata, prestasi itu adalah cerminan operasi mereka bagi suku pertama.
“Bagi segmen sewa beli, kami akan terus mengekalkan trajektori pertumbuhan dengan mengembangkan segmen itu kami secara sederhana
"Kami akan memerhatikan potensi halangan ekonomi yang mungkin berpunca daripada perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi dan kawalan harga, pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam ekonomi utama dan peningkatan kos barangan domestik.
"Sabah dan Sarawak kekal sebagai pasaran yang menarik untuk segmen perabot dan kami merancang untuk meningkatkan keupayaan logistik selain menawarkan pelanggan lebih banyak produk untuk menjadi lebih kompetitif dalam ruang ini," katanya.- DagangNews.com




