Hasil kerja keras 2 minggu, 5 pelajar SMK Permai Indah dinobat sebagai johan

21 Aug 2022 • 10:57 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Cukup membanggakan apabila usaha keras selama dua minggu akhirnya membuahkan kejayaan kepada sekumpulan lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai Indah, Pulau Pinang.

Mereka mengharumkan nama sekolah apabila muncul johan Pertandingan Cabaran 2 Minecraft STEM Engineering Design Process 2022 (Sekolah Menengah) Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

Iskandar Mohd Khairul Anwar; Lim Han Lu; Muhammad Arif Khadafie Masnizam; Ng Jing Wen dan Wan Danish Hakim Wan Mohd Faizal berjaya mendapat perhatian juri menerusi hasil kerja Bandar Lestari ‘Pengintegrasian Seni dalam STEM’

Kesemua pelajar Tingkatan Dua itu dibimbing guru sekolah, Noradillah Abdul Samad dan Wong Shyuan Harn.

Berkongsi kejayaan itu, Muhammad Arif Khadafie berkata, ketika pertandingan Cabaran 1, mereka menduduki tempat ketiga daripada 60 penyertaan.

Namun, dia mengakui amat terkejut sebaik pasukannya diumumkan sebagai johan pada Cabaran 2.

“Persediaan dilakukan selama dua minggu dan kejayaan ini adalah disebabkan kerjasama baik antara pasukan dan guru bimbingan iaitu Cikgu Noradillah, Cikgu Wong Shuarn Harn dan fasilitator, Puan Atikah,” ujarnya.

image is not availableimage is not available

Sementara itu, pengetua SMK Permai Indah, Aziah Yahaya berkata, kejayaan itu amat membanggakan kerana sekolah itu dikategorikan sebagai luar bandar yang majoritinya daripada keluarga dalam kalangan B40.

“Tahniah kerana mampu bersaing sehingga menjadi johan, kejayaan ini juga adalah hasil usaha keras berterusan guru pembimbing dan ibubapa yang sentiasa memberi sokongan.

“Paling menarik setelah terbabit dalam minecraft ini, mereka mampu bekerjasama, berkomunikasi dengan baik dan bertanggungjawab terhadap tugasan yang diagihkan.

“Apa yang membanggakan seorang guru ialah apabila melihat pelajarnya melakukan pembentangan dalam Bahasa Inggeris dan berjaya menjawab soalan secara spontan,” katanya.

Artikel berkaitan



Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok