Hasil Kronologi Asia naik 2.6% kepada RM59.25 juta pada 1QFY26 dipacu sumbangan perniagaan luar negara

TechnologyBusiness & Finance
23 Jun 2025 • 6:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hasil Kronologi Asia naik 2.6% kepada RM59.25 juta pada 1QFY26 dipacu sumbangan perniagaan luar negara

image is not available

23/06/2025 - 18:05

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Hasil penyedia teknologi dan rumusan pengurusan data perusahaan hibrid dan awan, Kronologi Asia Berhad pada suku pertama berakhir 30 April 2025 (1QFY26) naik 2.6% kepada RM59.25 juta berbanding RM57.75 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu sumbangan perniagaan luar negara.

Kumpulan itu berkata, untung bersih kumpulan itu juga meningkat 4.7% kepada RM1.5 juta berbanding RM1.4 juta pada 1QFY25 didorong keuntungan operasi yang lebih baik.

Katanya, sebahagian besar hasil kumpulan terus disumbangkan oleh Singapura, China dan Filipina, dengan jumlah sebanyak RM47.64 juta atau 80.4% daripada jumlah hasil keseluruhan kumpulan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kronologi Asia, Edmond Tay berkata, hasil yang disumbangkan segmen Teknologi Infrastruktur Pengurusan Data Perusahaan (EDM) Kumpulan berjumlah RM41.98 juta atau 70.8% daripada jumlah hasil, iaitu hampir sama dengan tahun kewangan sebelumnya, dengan EDM Sebagai-Perkhidmatan merangkumi baki selebihnya.

“Tempahan hasil dan kadar kejayaan pelanggan bagi suku ini adalah selaras dengan jangkaan keseluruhan perniagaan kami," katanya dalam satu nota kajian.

Bagaimanapun, beliau berkata, halangan operasi berkaitan rantaian bekalan dan ketidaktentuan tarif masih berterusan dalam suku ini yang telah menyebabkan tunggakan seperti yang dijangkakan tetapi pada masa sama pihaknya berjaya mengekalkan keuntungan.

Katanya, strategi perniagaan kumpulan kekal tertumpu kepada inisiatif pertumbuhan berkeutamaan tinggi, khususnya yang melibatkan platform data AI dan aliran kerja data berprestasi tinggi.

"Kami sedang mengambil langkah tambahan untuk meningkatkan prestasi kewangan menerusi transformasi perniagaan yang sedang dijalankan serta inisiatif kecekapan operasi, yang bersama-sama akan membawa syarikat ke arah pertumbuhan dan keuntungan yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com

standard