Hasil Lukisan Tangan Sendiri, Hatta Dolmat Persembahkan Koleksi Lestari Di #KLFW2022

LocalWomen's Fashion
25 Aug 2022 • 10:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hatta Dolmat mengangkat motif tradisional ke dalam rekaan pakaian harian. - Gambar ihsan Hatta Dolmat

Hatta Dolmat menjalinkan kerjasama bersama Wardah Cosmetics dan Spritzer Malaysia dalam usahanya melestarikan fesyen di pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (#KLFW2022).

Mengukuhkan hubungan industri fesyen dua hala antara Malaysia dan Indonesia, Hatta Dolmat melancarkan dua koleksi lestari yang diberi nama HD Vague RTW dan HD Peculiar RTW.

image is not available
Hatta Dolmat melancarkan dua koleksi lestari diberi nama HD Vague RTW dan HD Peculiar RTW. - Gambar ihsan Hatta Dolmat

Dibahagikan kepada dua segmen mengikut konsep masing-masing, Hatta turut berkongsi motif songket yang dilukisnya itu, yang mana ia juga adalah percubaan pertamanya dalam menyuntik elemen tradisional.

“Sudah sekian lama saya berhasrat ingin menggabungkan elemen songket dan konsep sedia-pakai ke dalam rekaan saya.

“Saya kira ini adalah masa yang tepat untuk saya mengangkat motif tradisional ke dalam rekaan pakaian harian,” ujarnya.

image is not available
Motif songket sentuhannya adalah percubaan pertamanya dalam menyuntik elemen tradisional. - Gambar ihsan Hatta Dolmat

Hatta turut berkata, hasil lukisannya itu dihasilkan bagi menepati selera pelanggan setia jenama, selain  menyatukan elemen tradisional dan moden yang mementingkan konsep lestari.

“Saya percaya, setiap karya yang dihasilkan perlu dibuat dengan lebih kreatif dan beretika. Ini adalah saat saya selaku seorang pereka fesyen perlu menjadi lebih sensitif terhadap perubahan.

“Ia telah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab saya untuk terus menyuntik nafas baharu ke dalam motif tradisional yang saya olahkan sambil mengekalkan motif terkini. 

“Penting untuk kita tidak mengabaikan aspek kelestarian agar ia lebih berkualiti, beretika dan mengekalkan ‘originality’ serta mampu memandu usaha memuliharakan alam sekitar,” jelas Hatta.

image is not available
Koleksi berkonsep kontemporari rekaannya turut menggambarkan isu pemanasan global. - Gambar ihsan Hatta Dolmat

Koleksi sedia-pakai yang berkonsepkan kontemporari ini digarap dalam motif songket dan motif ais cair yang berwarna-warni bagi menggambarkan isu pemanasan global.

Uniknya, kedua-dua motif ini merupakan hasil lukisan tangan Hatta Dolmat sendiri. Kemudian, Hatta mencetaknya di atas kain yang diperbuat daripada botol plastik kitar semula. 

Ia memberi fokus kepada aspek penghasilan produk fesyen secara lestari serta meraikan kegemilangan fesyen era 80-an.

Layari Hatta Dolmat  untuk maklumat lanjut mengenai kempen kelestarian fesyen anjuran Hatta Dolmat – Getaran, 25 Ogos 2022

image is not available
Gambar ihsan Hatta Dolmat