
KUALA LUMPUR 11 Dis – Kerajaan Negeri Selangor mencatatkan kutipan hasil RM2.7 bilion setakat ini, sekali gus mengatasi sasaran awal tahun sebanyak RM2.3 bilion, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan kecekapan pentadbiran negeri dalam menguruskan hasil serta pelaksanaan inisiatif kewangan yang lebih tersusun di semua peringkat.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran. Sasaran kita ialah RM2.3 bilion. Dalam Belanjawan (2026) hari itu saya sebut kita boleh sampai RM2.7 bilion, dan hari ini kita dah lepas pun.
“Jadi kita tunggulah sampai 31 Dis nanti kalau dapat hasil yang lebih baik. Kita sudah pasti lebih daripada RM2.7 bilion, tapi saya tak nak sebutlah angkanya sebab ada lagi bayaran-bayaran yang sedang ditunggu untuk urusan tanah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Sewaktu membentangkan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 November lalu, Amirudin memaklumkan jumlah kutipan hasil negeri telah mencecah RM2.49 bilion setakat 13 November 2025, meningkat lebih 106% berbanding anggaran awal tahun penuh sebanyak RM2.35 bilion.
Beliau turut menyatakan keyakinan kutipan hasil mampu melebihi RM2.7 bilion menjelang akhir 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 20 masjid dan surau di Selangor menerima sumbangan berjumlah RM2.47 juta bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan.
Menurut Amirudin, peruntukan kepada 11 masjid dan sembilan surau itu disalurkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Dana Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid dan Institusi Islam Selangor.
Katanya, dana tersebut akan digunakan untuk keperluan mendesak seperti pembaikan struktur bangunan, penaiktarafan kemudahan termasuk sistem siar raya, pendingin hawa serta tempat wuduk. - DagangNews.com



