
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri mahu lebih ramai usahawan di Sabah untuk menghasilkan produk makanan halal yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran global.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah mempunyai pelbagai produk makanan yang boleh dipromosikan oleh usahawan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, walaupun penglibatan usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin meningkat, ia masih perlu dipergiatkan.
“Kita mahu melihat penglibatan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan halal di Sabah. Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya ekspo halal yang diadakan untuk menambah baik dan mengembangkan perniagaan mereka,” kata Hajiji pada majlis perasmian Ekspo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung-Urung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.
Ucapan beliau disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Kadzim M. Yahya.
Hajiji berkata, kerajaan amat prihatin terhadap pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangka mencecah USD2.4 trilion pada 2024.
Beliau berkata keprihatinan kerajaan itu dizahirkan menerusi penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang bertindak sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincangkan, mengkaji dan membuat keputusan berhubung isu halal serta mencadangkan langkah baharu untuk membangunkan industri halal di negeri ini.
Beliau berkata, apa yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan agensi terlibat memberi tumpuan khusus kepada pemantapan aspek pensijilan halal khususnya untuk PMKS.
“Ini penting supaya PMKS juga mampu bersaing dan mempunyai keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini,” tambahnya.
Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, Hajiji berharap Ekspo Halal Sabah yang diadakan dapat mengukuhkan pemahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada pemain industri dan pengunjung ekspo tersebut.
“Ekspo ini juga dapat menjalinkan jaringan kerjasama antara pemain industri halal di dalam dan luar negara, serta memperkenalkan produk halal buatan tempatan di negeri ini,” tegasnya.
Menyentuh Karnival Baurung-Urung, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penganjuran karnival itu bagi memupuk keharmonian dan toleransi dalam masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama di negeri ini.
Beliau berharap Karnival Baurung-Urung menjadi salah satu khazanah budaya negeri yang boleh diketengahkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
Hajiji berkata, rakyat Brunei yang mempunyai pelbagai khazanah seni, budaya dan adat resam boleh menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam sektor pelancongan.
“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk merancakkan sektor pelancongan. Karnival seperti ini perlu dipromosikan sebagai salah satu produk untuk meningkatkan sumber pendapatan pelancongan Sabah,” katanya.
Pelancaran tiga buah buku terbitan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) dan penyampaian Anugerah Tokoh PMBS serta majlis menandatangani MoU antara Muis Holding Sdn Bhd dan Sabah Farms dari Thailand turut berlangsung pada majlis itu.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif berkata memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Muis Holding Sdn Bhd dan Saha Farms dari Thailand akan membuka jalan untuk memperkukuh produk halal di Sabah.
Di bawah MoU itu, Saha Farms membekalkan produk halal premium ke Sabah.
“Kami telah menandatangani MoU dengan pengeluar ayam halal terbesar di dunia untuk bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), yang diharapkan dapat meningkatkan lagi keyakinan rakyat di Sabah terhadap produk halal kita.
“Ia juga akan membantu usahawan kecil dan sederhana dengan memberi bimbingan berterusan daripada Hab Halal Muis,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian itu.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan produk halal di Sabah, Ariffin berkata bengkel turut dianjurkan terdiri daripada pakar halal dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak berkuasa halal berkaitan.
Sementara itu, Ariffin, yang juga presiden PMBS, berkata Karnival Baurung-Urung merupakan satu inisiatif untuk mempromosikan budaya dan makanan istimewa masyarakat Brunei di Sabah.
Antara pengisian karnival tersebut termasuk penyampaian anugerah PMBS, pertunjukan kebudayaan, gambus dan pertandingan makanan.
“Saya harap orang ramai akan datang esok (Ahad) untuk mencuba ambuyat (sagu) dengan pelbagai saus. Semoga ia juga menjadi resipi istimewa Sabah,” katanya.
Ariffin berkata, buku menu makanan masyarakat Brunei di Sabah juga telah diterbitkan yang diharap dapat menjadi rujukan penting pada masa hadapan.
Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar dan Presiden Muis, Datuk Seri Yahya Hussin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

